Hasrat seorang warga Singapura berusia 66 tahun untuk menikmati kehidupan lebih tenang pada usia persaraan bertukar menjadi pengalaman memeritkan.
Ini apabila unit kondominium yang dibelinya di Johor bukan sahaja lewat disiapkan, bahkan dipenuhi pelbagai kerosakan yang menjejas keselesaan hidupnya.
Beliau yang enggan dinamakan berkata unit yang dibeli pada 2014 itu hanya diserahkan kepadanya pada 2023, enam tahun lewat daripada jangkaan awal.
Sewaktu menandatangani perjanjian jual beli, projek itu dipromosikan sebagai kediaman mewah lengkap dengan segala kelengkapan.
Namun selepas menerima kunci, beliau mendapati dinding rekah, sinki berkarat, kabinet rosak dan tandas sering tersumbat.
Tambahnya, keadaan tersebut memaksanya membuat aduan dan tindakan susulan hampir setiap bulan.
“Warga Singapura mesti benar-benar memahami proses pembelian hartanah di Malaysia kerana banyak aspek penting tidak dijelaskan dengan telus. Tempoh siap projek lazimnya 36 bulan, namun ada perjanjian menetapkan sehingga 48 bulan, sekali gus menimbulkan kekeliruan mengenai pampasan kelewatan. Pembeli asing juga lebih terdedah kepada risiko kerana kurang memahami amalan pembangunan tempatan,” jelasnya.
Mengimbas hubungan keluarganya dengan Johor sejak kecil, beliau berkata negeri itu dekat di hatinya dan menawarkan kehidupan lebih tenang berbanding di Singapura.
Namun selepas mengalami sendiri masalah mutu kerja yang rendah, tekanan air tidak stabil serta pembaikan yang mengambil masa panjang, beliau menegaskan bahawa pemilihan pemaju berpengalaman dan memiliki rekod baik amat penting walaupun harga mungkin lebih tinggi.
Dalam hal imigresen, beliau turut mengingatkan bahawa pas lawatan sosial tidak membenarkan seseorang tinggal terlalu lama.
Pengalaman sendiri dipanggil untuk soal siasat mengajarnya bahawa individu yang ingin menetap lebih lama wajar memohon program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
“Johor juga bukan destinasi membeli rumah dengan harapan untung jualan semula kerana harga hartanah tidak meningkat seperti di bandar raya utama lain.
“Beli untuk tinggal, berehat atau sebagai rumah persaraan. Jika niat mahu untung, anda akan kecewa,” katanya.
Peguam hartanah Johor, Encik Alias Rasman, pula berkata minat warga Singapura membeli hartanah dijangka meningkat menjelang pembukaan projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, yang beroperasi sepenuhnya pada awal 2027.
“Namun pembeli perlu memahami syarat negeri, harga minimum dan kategori hartanah yang dilarang dimiliki warga asing. Di Johor, harga minimum bagi pembeli luar negara ialah RM1 juta ($313,066), manakala unit Bumiputera dan Tanah Rizab Melayu adalah dilarang sama sekali,” jelasnya.
Menurutnya, bermula 1 Januari 2026, duti setem bagi warga asing akan dinaikkan sehingga 8 peratus mengikut nilai hartanah, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Perubahan ini dijangka meningkatkan kos permulaan dan perlu diambil kira dalam perancangan kewangan.
Encik Alias turut menasihatkan pembeli agar menilai rekod pemaju, lesen, permit iklan serta memeriksa sama ada projek tertakluk kepada Akta Pemajuan Perumahan (HDA) yang memberi perlindungan lebih kukuh kepada pembeli.
“Unit komersial seperti Soho dan pangsapuri servis pula tidak dilindungi HDA, sekali gus membawa risiko lebih tinggi,” katanya.
Menurutnya, pemilikan pegangan bebas biasanya lebih stabil, namun pegangan pajakan juga boleh diterima jika baki tempoh mencukupi.
“Pembeli juga disaran menyemak dana penyelenggaraan, badan pengurusan bangunan dan menyediakan wasiat bagi melancarkan urusan pewarisan.
“Dengan penelitian yang betul serta kefahaman jelas mengenai undang-undang negeri, rakyat Singapura boleh membuat keputusan lebih yakin dalam meneroka pasaran hartanah Johor,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg