Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) terus meningkat pada Julai dengan anggaran kilat daripada laman SRX dan 99.co yang dikeluarkan pada 6 Ogos menunjukkan ia meningkat 0.6 peratus bulan-ke-bulan.
Harga flat jualan semula meningkat 0.5 peratus di estet matang dan 0.6 peratus di estet tidak matang dari bulan sebelumnya, lapor The Business Times.
Harga flat tiga bilik naik 0.3 peratus pada Julai, manakala harga flat empat bilik dan unit eksekutif naik 1.3 peratus.
Sementara itu, harga flat lima bilik turun 0.1 peratus.
Jumlah jualan semula melonjak 39.6 peratus pada bulan itu kepada 3,049 flat, berbanding 2,184 flat pada Jun.
Berbanding tempoh yang sama pada 2023, jumlah jualan semula adalah 48.3 peratus lebih tinggi.
Sementara itu, jumlah jualan semula flat berharga lebih sejuta dolar mencecah paras tertinggi pada Julai dengan 120 transaksi, menurut laman hartanah itu.
Flat HDB yang dijual pada harga sekurang-kurangnya $1 juta menyumbang 3.9 peratus daripada jumlah jualan semula, meningkat 25 peratus kepada 120 unit pada Julai berbanding 96 pada Jun.
Flat di Kallang Whampoa merekodkan urus niaga bernilai sejuta dolar paling banyak dengan 23 unit bertukar tangan, diikuti Bukit Merah dengan 21 dan Queenstown 18.
Daripada semua transaksi sejuta dolar, 47 adalah daripada projek baru yang mencapai Tempoh Penginapan Minimum (MOP). Projek-projek itu termasuk Ghim Moh Edge, St George’s Tower dan McNair Towers.
Secara keseluruhan, mengikut jenis flat, flat empat bilik adalah yang paling popular pada bulan itu, membentuk 46 peratus daripada jumlah penjualan.
Permintaan untuk flat tiga bilik menyumbang 24.9 peratus daripada jumlah jualan semula, dan 23.5 peratus daripada jualan flat lima bilik. Sekitar 5.6 peratus daripada urus niaga adalah untuk flat eksekutif.
Lebih separuh (59.5 peratus) urus niaga flat jualan semula adalah daripada estet bukan matang.
Encik Luqman Hakim, ketua pegawai data dan analitik di 99.co, berkata: “Walaupun Julai sentiasa menjadi bulan yang menyaksikan jumlah jualan semula meningkat selepas cuti Jun, terdapat peningkatan lebih ketara tahun ini.
“Ini bermakna lebih ramai pemilik hartanah privet membuat turun taraf ke HDB, meskipun jenis premium dan/atau lokasi premium, dengan peningkatan ketara rumah sejuta dolar turut menyokong pandangan ini.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg