Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga jualan semula HDB naik 2.3% pada suku kedua

Jul 26, 2024 | 5:15 PM
HDB berkata kenaikan harga dan jumlah jualan semula didorong oleh permintaan yang kukuh, dan bekalan pasaran lebih ketat berikutan pengurangan flat baru yang memenuhi Tempoh Penginapan Minimum (MOP) pada 2024 berbanding 2023.
HDB berkata kenaikan harga dan jumlah jualan semula didorong oleh permintaan yang kukuh, dan bekalan pasaran lebih ketat berikutan pengurangan flat baru yang memenuhi Tempoh Penginapan Minimum (MOP) pada 2024 berbanding 2023. - Foto ST

Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meningkat 2.3 peratus dari April hingga Jun, pada kadar lebih pantas daripada pertumbuhan 1.8 peratus pada suku pertama 2024.

Data yang dikeluarkan HDB pada 26 Julai menunjukkan bahawa ini adalah kadar pertumbuhan terpantas sejak suku keempat 2022, apabila harga meningkat sebanyak 2.1 peratus.

HDB berkata kenaikan harga dan jumlah jualan semula didorong oleh permintaan yang kukuh, dan bekalan pasaran yang lebih ketat berikutan pengurangan flat baru yang memenuhi Tempoh Penginapan Minimum (MOP) pada 2024 berbanding 2023, lapor The Straits Times.

Ia menambah, urus niaga flat lebih $1 juta hanyalah sebahagian kecil jumlah transaksi jualan semula pada suku kedua 2024, dengan sebahagian besar flat dijual pada harga jauh lebih rendah.

HDB juga menggesa pembeli rumah supaya berhemat dalam pembelian hartanah mereka, dengan prospek ekonomi global yang tidak menentu dan kadar gadai janji domestik yang tinggi.

Komen itu dibuat selepas syarikat hartanah ERA mengumumkan pada 22 Julai bahawa sebuah flat lima bilik di Margaret Drive telah dijual dengan harga memecahkan rekod, $1,725,888, dan menetapkan penanda aras baru dalam pasaran jualan semula HDB.

Cik Christine Sun, ketua penyelidik dan ahli strategi di firma hartanah OrangeTee Group, berkata jumlah transaksi jualan semula bagi separuh pertama 2024 telah mencecah 14,420, menandakan jualan setengah tahun tertinggi sejak enam bulan pertama 2021.

Beliau mengaitkan perkara ini dengan permintaan pembeli yang kukuh, terutamanya untuk flat jualan semula yang lebih besar, kerana lebih ramai pemilik rumah privet mungkin telah memenuhi tempoh menunggu 15 bulan untuk membeli flat jualan semula HDB.

Sejak 30 September 2022, pemilik rumah privet terpaksa menunggu 15 bulan selepas menjual hartanah mereka sebelum mereka boleh membeli flat jualan semula HDB.

Urus niaga flat lebih besar menyumbang bahagian yang lebih besar daripada jumlah jualan, meningkat daripada 28.6 peratus pada separuh pertama 2023 kepada 29.2 peratus pada separuh pertama 2024, kata Cik Sun.

Encik Mohan Sandrasegeran, ketua penyelidikan dan analisis data di Singapore Realtors Inc, menyebut kekurangan penjualan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan Jualan Baki Flat (SBF), bilangan flat yang terhad mencapai MOP pada 2024 disebabkan penurunan jumlah flat yang siap dibina pada 2019, serta minat lebih besar bagi flat lama, sebagai sebab lonjakan permintaan untuk flat jualan semula.

Beliau menambah, ketiadaan penjualan BTO dan SBF mungkin mendorong bakal pembeli – terutama mereka yang lebih terdesak – mencari lebih banyak pilihan segera dalam pasaran jualan semula.

Ini kerana mereka perlu menunggu sehingga Oktober untuk pelancaran flat BTO baru dan sehingga Februari 2025 untuk latihan SBF seterusnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg