Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah jatuh buat suku tahun kedua berturut-turut, dan bilangan unit yang dijual juga menurun berbanding tempoh yang sama pada 2025.

Anggaran awal yang dikeluarkan pada 1 Julai menunjukkan bahawa harga jualan semula HDB jatuh sebanyak 0.3 peratus pada suku kedua 2026.

Dalam tiga bulan pertama 2026, harga jatuh sebanyak 0.1 peratus. Ini merupakan penurunan pertama dalam hampir tujuh tahun.

Terdapat 6,268 transaksi pada suku kedua 2026, turun 10.2 peratus daripada 6,981 unit dalam tempoh yang sama pada 2025.

HDB berkata prospek makroekonomi masih tidak menentu, dan menasihatkan isi rumah supaya berhemat ketika membeli hartanah dan mengambil pinjaman rumah.

“Pemerintah akan terus memantau pasaran hartanah dengan teliti dan menyesuaikan dasarnya jika perlu bagi menggalakkan pasaran hartanah yang stabil dan mampan,” tambahnya.

Pada Oktober, HDB akan melancarkan kira-kira 7,960 unit flat di Bedok, Geylang, Sembawang, Tengah, Toa Payoh dan Yishun. 

Flat berkonsepkan hidup berbantu, juga dikenali sebagai flat penjagaan masyarakat, turut akan ditawarkan di Toa Payoh. Unit-unit itu dilengkapi dengan kemudahan mesra warga emas, seperti bilik air mesra kerusi roda serta perkhidmatan kesihatan dan masyarakat yang lain.

Lembaga itu menasihatkan pembeli yang berminat untuk menyertai penjualan pada Oktober supaya memohon surat Kelayakan Flat HDB (HFE) menjelang 15 September.

Namun, harga hartanah privet naik 0.5 peratus pada suku kedua 2026.

Pertumbuhan harga hartanah privet semakin perlahan pada suku kedua, dengan kenaikan 0.5 peratus itu susulan kenaikan 0.9 peratus pada suku pertama.

Harga hartanah berhalaman naik 2.6 peratus, dan inilah yang mendorong pertumbuhan harga keseluruhan. Pada suku sebelumnya, harga jenis rumah itu turun 0.4 peratus. 

Mengikut kawasan, perubahan harga hartanah bukan berhalaman adalah bercampur-campur pada suku kedua, dengan Kawasan Tengah Utama (CCR) mencatatkan kenaikan terbesar sebanyak 2 peratus, berbanding pertumbuhan 0.6 peratus sebelum ini.

Sementara itu, harga di Luar Kawasan Tengah (OCR) turun 0.2 peratus, berbanding kenaikan 2.2 peratus dalam tempoh tiga bulan sebelumnya. 

Harga di Baki Kawasan Tengah (RCR) pula jatuh 1.4 peratus, daripada pertumbuhan 0.8 peratus pada suku pertama.

Jumlah jualan agak stabil pada suku kedua, dengan 5,420 transaksi direkodkan, naik sedikit daripada 5,413 pada suku sebelumnya.