Sekitar 1,600 flat BTO bakal dilancar di Lakeview, Shunfu mulai Jun 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekitar 1,600 flat BTO bakal dilancar di Lakeview, Shunfu mulai Jun 2026

Projek pertama di Lakeview akan dilancar Jun 2026 dan merangkumi sekitar 1,200 flat
Feb 2, 2026 | 6:00 PM

Sekitar 1,600 flat BTO bakal dilancar di Lakeview, Shunfu mulai Jun 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
flat BTO, Lakeview, Shunfu, HDB
Projek Bina Ikut Tempahan (BTO) di Lakeview, berdekatan Upper Thomson Road dan kondominium Lakeview Estate, menawarkan sekitar 470 unit flat dua bilik Fleksi, kira-kira 740 unit flat empat bilik, serta 50 unit flat sewa awam. - Foto HDB

Sekitar 1,600 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) akan dilancarkan mulai Jun 2026, merangkumi tiga projek perumahan di kawasan Lakeview dan Shunfu.

Ini merupakan kali pertama dalam tempoh lebih empat dekad projek perumahan awam diperkenal di kawasan tersebut, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam satu kenyataan media pada 2 Februari.

Projek pertama di Lakeview, akan dilancarkan semasa latihan penjualan BTO pada Jun 2026 yang melibatkan sekitar 1,200 flat.

Kerja pembinaan bagi projek itu akan dijalankan secara berperingkat mulai suku kedua 2026.

Sementara itu, dua lagi projek akan dilancarkan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Menyentuh tentang pelancaran BTO tersebut, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata flat baru itu mencerminkan usaha berterusan HDB untuk memperbaharui dan memberi nafas baru kepada kawasan matang.

“Di luar Bishan-Toa Payoh, kami juga membawa lebih banyak perumahan awam ke bandar matang lain supaya kawasan-kawasan ini kekal inklusif dan bertenaga untuk penduduk daripada semua peringkat usia,” ujarnya.

Encik Chee, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, turut menambah HDB telah melancarkan dan membina lebih 10,000 flat di kawasan Bishan dan Toa Payoh sejak sedekad lalu.

“Lebih banyak lagi rumah akan dibangunkan di Mount Pleasant, Kim Keat, Caldecott, serta kini di Shunfu dan Lakeview,” kongsi beliau.

Menurut HDB, tiga projek tersebut akan menawarkan lebih banyak pilihan perumahan kepada pembeli rumah, khususnya mereka yang ingin tinggal berdekatan dengan keluarga di kawasan berhampiran seperti Toa Payoh, Bishan dan Ang Mo Kio bagi memudahkan penjagaan serta sokongan bersama.

“(Projek-projek tersebut) juga akan menyediakan kemudahan tambahan yang memberi manfaat kepada penduduk setempat, termasuk kedai makan, pasar mini, klinik, kedai roti… dan pusat Rangkaian Penduduk,” kongsi HDB.

Projek pertama di Lakeview – berdekatan Upper Thomson Road dan kondominium Lakeview Estate – akan merangkumi lima blok kediaman yang menawarkan sekitar 470 unit flat dua bilik Fleksi dan kira-kira 740 unit flat empat bilik.

Selain itu, sekitar 50 unit flat sewa awam juga akan disepadukan ke dalam dua blok di kawasan itu.

Projek BTO tersebut akan menampilkan blok-blok dengan ketinggian berbeza antara 18 hingga 40 tingkat.

Penghubung taman sedia ada di sepanjang Upper Thomson Road juga akan disesuaikan untuk memudahkan akses ke ruang hijau seperti Kolam Air MacRitchie.

“Blok-blok tersebut akan menawarkan pemandangan indah kepada penduduk, termasuk Kolam Air MacRitchie yang berhampiran.

“Butiran lanjut mengenai projek ini, termasuk klasifikasi (flat-flat tersebut), akan diumumkan lebih dekat dengan sesi jualan Jun 2026,” kongsi HDB.

Sementara itu, dua projek BTO lain – satu di Lakeview dan satu di Shunfu – secara bersama akan menawarkan sekitar 130 unit flat tiga bilik dan 290 unit flat empat bilik.

Dalam pada itu, Encik Chee turut berkongsi bahawa ramai penduduk di Bishan-Toa Payoh dan Marymount telah menyuarakan hasrat agar anggota keluarga dapat tinggal lebih dekat antara satu sama lain.

“Ia merupakan pertimbangan utama dalam pendekatan kami terhadap perumahan awam. (Ia) bukan sekadar membina rumah, tetapi juga membina masyarakat yang kukuh dan saling berhubung,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg