Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga jualan semula HDB naik 0.9% pada Nov, jumlah transaksi berkurang

Dijangka stabil sepanjang beberapa bulan mendatang disebabkan bekalan flat terhad, penurunan kadar faedah
Dec 4, 2024 | 4:34 PM
Terdapat 1,951 transaksi jualan semula HDB pada November – turun 9.6 peratus dari Oktober.
Terdapat 1,951 transaksi jualan semula HDB pada November – turun 9.6 peratus dari Oktober. - Foto BT

Harga jualan semula flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meningkat 0.9 peratus pada November dari bulan sebelumnya, dan 10.4 peratus dari setahun lalu, berdasarkan data awal SRX dan 99.co pada 4 Disember.

Dengan 1,951 flat jualan semula bertukar tangan pada November, jumlah transaksi berkurangan 9.6 peratus daripada 2,158 unit pada Oktober dan 8.7 peratus dari setahun lalu.

Ini bulan keempat berturut-turut jumlah transaksi berkurangan, lapor The Business Times.

Ketua Pegawai Data dan Analitik di 99.co, Encik Luqman Hakim, berkata kenaikan harga pada November “disokong oleh permintaan stabil, terutama bagi flat di estet matang, yang popular kerana lokasi dan mudah diakses”.

Ketua penyelidikan dan kandungan PropNex, Cik Wong Siew Ying, berkata jumlah jualan semula flat berkurangan disebabkan pengurangan had pinjaman kepada nilai bagi pinjaman HDB daripada 80 peratus kepada 75 peratus pada Ogos, serta kegiatan pasaran perlahan akibat musim hujung tahun.

Pada November, harga jualan semula di estet matang meningkat 1 peratus, manakala harga di estet belum matang naik 0.2 peratus daripada harga pada Oktober. 

Dari segi tahun ke tahun, harga jualan semula flat di estet matang meningkat 9.8 peratus, manakala di estet belum matang meningkat 9.7 peratus.

Harga flat tiga bilik meningkat paling tinggi pada November, iaitu 1.3 peratus, diikuti flat empat bilik (1 peratus) dan flat lima bilik (0.7 peratus). Sebaliknya, harga flat eksekutif turun 2.8 peratus.

Harga semua jenis bilik meningkat berbanding November 2023, dengan flat tiga bilik mencatat lonjakan terbesar sebanyak 11.2 peratus.

Ini diikuti flat empat bilik (10.8 peratus), flat lima bilik (9.2 peratus) dan flat eksekutif (5.1 peratus).

Harga jualan semula tertinggi pada November ialah sebuah flat lima bilik di Dover Crescent, Queenstown, yang dijual pada harga $1.55 juta.

Di estet belum matang, sebuah flat lima bilik di Compassvale Drive mencatat harga tertinggi, iaitu $1.05 juta.

Sebanyak 87 flat jualan semula HDB dijual pada harga melebihi $1 juta, membentuk 4 peratus daripada jumlah transaksi jualan semula pada November – berkurangan daripada 103 transaksi yang dicatatkan pada Oktober.

Ketua penyelidikan dan risikan pasaran ERA Singapore, Cik Wong Shanting, mengaitkan pengurangan transaksi jutaan dolar kepada beberapa faktor, termasuk musim peperiksaan dan pelancaran projek kediaman privet baru seperti Chuan Park dan Emerald of Katong, yang mungkin mengalihkan perhatian pembeli.

Cik Wong menambah bahawa dalam 11 bulan pertama 2024 terdapat 940 transaksi jualan semula flat berharga jutaan dolar – dua kali ganda jumlah rekod 469 transaksi serupa itu sepanjang 2023.

Toa Payoh mencatatkan jumlah flat jutaan dolar terbanyak dijual pada November dengan 20 unit, diikuti Bukit Merah dan Kallang-Whampoa, dengan 10 unit setiap satu.

Sepanjang beberapa bulan akan datang, bekalan flat yang terhad dan pengurangan kadar faedah dijangka membantu menstabilkan harga. 

Permintaan bagi flat di lokasi utama atau dengan susun atur yang diingini mungkin kekal tinggi, terutama dalam kalangan pembeli yang mencari rumah lebih besar tanpa masa menunggu lebih lama yang dikaitkan dengan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru.

Awal 2025 boleh menyaksikan kegiatan jualan semula kembali rancak kerana faktor-faktor itu, kata Encik Luqman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg