Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HDB lapor rekod defisit $6.775b pada 2023

Ia berlaku di tengah-tengah peningkatan bekalan flat Bina Ikut Tempahan (BTO), kos binaan tinggi
Nov 7, 2024 | 3:17 PM
Menurut laporan tahunan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang dikeluarkan pada 7 November, ia mencatatkan rekod defisit $6.775 bilion bagi tahun kewangan (FY) 2023 dari April 2023 hingga Mac 2024, disebabkan kos pembinaan tinggi dan peningkatan bekalan flat Bina Ikut Tempahan (BTO).
Menurut laporan tahunan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang dikeluarkan pada 7 November, ia mencatatkan rekod defisit $6.775 bilion bagi tahun kewangan (FY) 2023 dari April 2023 hingga Mac 2024, disebabkan kos pembinaan tinggi dan peningkatan bekalan flat Bina Ikut Tempahan (BTO). - Foto ST

Kos pembinaan tinggi dan peningkatan bekalan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) berterusan menyebabkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melaporkan rekod defisit berjumlah $6.775 bilion bagi tahun kewangan (FY) 2023 dari April 2023 hingga Mac 2024.

Ini adalah sekitar 26 peratus lebih tinggi daripada defisit $5.38 bilion yang dicatatkan pada FY 2022, menurut laporan tahunan HDB yang dikeluarkan pada 7 November.

Sebahagian besar defisit iaitu $6.225 bilion adalah disebabkan oleh jangkaan kerugian bagi flat yang sedang dibina, pengagihan geran perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan kerugian kasar penjualan flat bersubsidi di bawah program pemilikan rumah, kata HDB.

Kerugian yang ditanggung di bawah program ini adalah 33 peratus lebih tinggi daripada defisit $4.68 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif HDB, Encik Tan Meng Dui, berkata defisit yang ditanggung di bawah segmen pemilikan rumah menunjukkan komitmen HDB dalam memastikan perumahan awam kekal mampu dimiliki di tengah-tengah peningkatan kos.

Antara April 2023 dan Mac 2024, HDB memulakan pembinaan kira-kira 22,700 flat BTO – peningkatan 50 peratus daripada 15,100 unit pada tahun kewangan sebelumnya, tambah beliau.

Berdasarkan laporan tahunannya, HDB menyiapkan 18,450 flat baru bagi FY 2023 – turun 22 peratus daripada 23,782 unit baru pada FY sebelum ini.

Ia juga menyerahkan 19,345 kunci kepada pemilik rumah – lebih rendah daripada 21,259 kunci yang diserahkan pada FY sebelum ini.

Daripada $6.225 bilion defisit yang ditanggung dalam segmen pemilikan rumah, $3.738 bilion adalah daripada jangkaan kerugian bagi flat yang sedang dibina.

Jumlah tersebut lebih tinggi daripada $2.712 bilion yang dicatatkan bagi FY 2022.

HDB berkata ini disebabkan peningkatan bekalan flat BTO, manakala kos pembinaan kekal tinggi disebabkan ketidaktentuan pasaran akibat konflik geopolitik yang berterusan.

HDB mengalami defisit kerana jumlah yang dikumpul daripada pembeli hasil daripada penjualan flat adalah kurang daripada jumlah kos pembangunan flat BTO dan geran perumahan yang diberikan.

Ia juga mengalami kerugian kasar $1.369 bilion untuk penjualan flat. HDB berkata ia disebabkan kos pembinaan lebih tinggi, meskipun jumlah unit yang dijual lebih rendah.

Pada FY 2023, 16,844 flat telah dijual – turun 8.8 peratus berbanding 18,478 unit yang dijual pada FY 2022. Jumlah ini tidak termasuk apartmen studio dan flat yang dijual dengan tempoh pajakan pendek.

Sementara itu, geran perumahan CPF berjumlah $999 juta telah diagihkan kepada pembeli flat jualan semula HDB dan kondominium eksekutif dari April 2023 hingga Mac 2024 – naik daripada $686 juta berbanding FY 2022.

HDB menyatakan bahawa Geran Perumahan CPF untuk pembeli kali pertama yang layak bagi flat jualan semula meningkat sehingga $30,000 mulai Februari 2023.

HDB telah membelanjakan kira-kira $160 juta bagi penetapan rumah flat sewa disebabkan lebih banyak kerja pembaikan dilakukan untuk membaik pulih unit.

Ia juga membelanjakan $396 juta bagi program menaik taraf. Jumlah ini lebih rendah daripada $558 juta yang dibelanjakan pada FY sebelumnya.

HDB menyatakan penurunan itu disebabkan oleh perbelanjaan yang lebih rendah untuk Program Pembaikan Rumah (HIP), memandangkan kira-kira separuh daripada estet yang sedang dalam pembinaan dalam FY 2023 berada di hujung fasa pembinaan.

Sejumlah $446 juta dibelanjakan dalam aspek seperti pentadbiran pajakan dan pengurusan kemudahan seperti tempat letak kereta, tambah HDB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg