Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meningkat 9.7 peratus pada 2024, dengan penganalisis menjangka harga jualan semula akan terus naik pada 2025.
Peningkatan harga pada 2024 melebihi kenaikan 4.9 peratus pada 2023.
Tetapi harga dalam tiga bulan terakhir 2024 naik pada kadar lebih perlahan sebanyak 2.6 peratus, berbanding kenaikan 2.7 peratus pada suku sebelumnya, menurut data yang dikeluarkan oleh HDB pada 24 Januari.
Menurut The Straits Times, bilangan flat HDB yang dijual semula pada suku keempat 2024 berkurangan 21.1 peratus kepada 6,424 unit, berbanding 8,142 unit pada suku ketiga.
Secara keseluruhan, 28,986 flat jualan semula bertukar tangan pada 2024 – 8.4 peratus lebih tinggi berbanding 26,735 flat pada 2023.
Harga jualan semula telah meningkat secara berterusan setiap suku tahun sejak suku kedua 2020.
Penganalisis hartanah jangkakan harga jualan semula akan terus meningkat pada 2025, kerana flat baru yang memenuhi tempoh penginapan minimum (MOP) berbanding tahun sebelumnya lebih sedikit.
Encik Mohan Sandrasegeran, ketua penyelidikan dan analisis data di Singapore Realtors Inc, berkata dianggarkan 6,974 flat akan memenuhi MOP pada 2025, dan bekalan yang berkurangan akan menyumbang kepada kenaikan harga.
Jumlah itu merupakan penurunan 41.6 peratus berbanding 11,952 flat yang memenuhi MOP pada 2024, katanya.
“Penyederhanaan ini boleh dikaitkan dengan bilangan lebih rendah flat yang siap dibina pada 2020, kerana garis masa penyiapan terjejas dengan ketara oleh pandemik Covid-19,” katanya.
Terdapat rekod urus niaga 1,035 flat lebih sejuta dolar pada keseluruhan 2024.
Tetapi bilangan urus niaga sedemikian jatuh kepada 285 pada suku keempat 2024, berbanding 331 unit pada suku sebelumnya.
Encik Lee Sze Teck, pengarah kanan analisis data di firma hartanah Huttons Asia, berkata urus niaga flat lebih sejuta dolar pada 2024 membentuk kira-kira 3.6 peratus daripada jumlah transaksi.
Urus niaga ini tertumpu di estet Bishan, Bukit Merah, Kallang/Whampoa, Queenstown dan Toa Payoh, dengan kebanyakan urus niaga antara $1 juta hingga $1.1 juta, tambahnya.
Sementara itu, sewa rumah privet di Singapura turun 1.9 peratus pada 2024, menandakan kemerosotan setahun penuh pertama sejak 2020, menurut The Business Times.
Ini perubahan mendadak berbanding kenaikan 8.7 peratus dalam sewa pada 2023, menurut angka yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 24 Januari.
Bagi suku terakhir tahun 2024, sewa tidak berubah, selepas meningkat 0.8 peratus pada suku ketiga.
Harga jualan kediaman privet pula meningkat sebanyak 2.3 peratus pada suku keempat, tidak berubah berbanding anggaran kilat yang dikeluarkan awal bulan ini.
Peningkatan itu menyusuli beberapa pelancaran baru, berbalik daripada penurunan 0.7 peratus pada suku sebelumnya.
Harga hartanah berhalaman jatuh sebanyak 0.1 peratus pada suku keempat, penurunan yang lebih kecil berbanding penurunan 3.4 peratus pada suku sebelumnya.
Harga hartanah tidak berhalaman meningkat 3 peratus pada suku keempat, terutama didorong oleh transaksi jualan pada pelancaran baru.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg