Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga jualan semula kondo jatuh buat kali pertama dalam 10 bulan

Harga jualan semula keseluruhan pada Okt turun 0.5% bulan ke bulan
Nov 25, 2024 | 5:13 PM
Anggaran awal daripada laman hartanah SRX dan 99.co menunjukkan harga jualan semula kondominium keseluruhan pada Oktober merosot 0.5 peratus bulan ke bulan.
Anggaran awal daripada laman hartanah SRX dan 99.co menunjukkan harga jualan semula kondominium keseluruhan pada Oktober merosot 0.5 peratus bulan ke bulan. - Foto BT

Harga jualan semula kondominium privet turun buat kali pertama pada 2024, dengan kejatuhan harga di kawasan pinggir bandar.

Anggaran awal daripada laman hartanah SRX dan 99.co pada 25 November menunjukkan harga jualan semula kondominium keseluruhan pada Oktober turun 0.5 peratus bulan ke bulan.

Di Baki Kawasan Tengah (RCR), harga turun 0.8 peratus. Bagaimanapun, di Kawasan Tengah Utama (CCR) dan Luar Kawasan Tengah (OCR), harga masing-masing naik 0.5 peratus dan 1 peratus, lapor The Business Times.

Harga jualan semula kondominium di seluruh pulau masih lebih tinggi mengikut tahun ke tahun – sebanyak 3.7 peratus dalam CCR, 3.3 peratus dalam RCR dan 3.9 peratus dalam OCR.

Kali terakhir harga mencatatkan penguncupan adalah pada Disember 2023, kata Encik Luqman Hakim, ketua pegawai data dan analitik di 99.co.

Encik Mohan Sandrasegeran, ketua penyelidikan dan analisis data di Singapore Realtors Inc (SRI), menyatakan bahawa penyederhanaan harga jualan semula privet berkemungkinan disebabkan oleh bekalan baru, memandangkan 3,225 unit tidak berhalaman menerima Permit Pendudukan Sementara (TOP) mereka pada suku ketiga 2024.

“Ini mewakili bilangan suku tahunan tertinggi unit yang siap bagi tahun ini (2024), berikutan kemuncak 4,036 unit tidak berhalaman pada suku keempat 2023.

“Peningkatan dalam unit yang baru siap untuk tahun ini (2024) mungkin menyumbang kepada penurunan harga jualan semula rumah privet,” katanya.

Jumlah urus niaga pula meningkat sebanyak 8.1 peratus pada Oktober.

Kira-kira 1,124 unit telah dijual semula, meningkat daripada 1,040 unit yang diurusniagakan pada September.

Jumlah dagangan adalah 29.1 peratus lebih tinggi tahun ke tahun dan 11.3 peratus lebih tinggi daripada jumlah purata lima tahun untuk Oktober.

Penganalisis lain menekankan bahawa pemotongan kadar faedah baru-baru ini oleh Lembaga Simpanan Federal (Fed) mungkin telah meningkatkan urus niaga jualan semula.

Encik Ismail Gafoor, ketua eksekutif firma hartanah PropNex, menjangkakan lebih ramai pembeli memasuki pasaran jualan semula apabila Fed memberi isyarat penurunan kadar selanjutnya.

“Sejak pengumuman penurunan kadar Fed, kami mendapati bahawa Purata Kadar Semalaman Singapura (Sora) dikompaun selama tiga bulan, yang digunakan bank untuk menetapkan harga pakej pinjaman rumah, telah menjadi sederhana,” katanya.

Sora tiga bulan berada pada 3.54 peratus setahun pada pertengahan September dan jatuh kepada 3.25 peratus setahun pada 25 November.

Mengikut kawasan, 50 peratus daripada urus niaga datang daripada OCR, 31.1 peratus daripada RCR dan 18.9 peratus daripada CCR.

Kegiatan penjualan semula dalam OCR sebahagian besarnya didorong oleh pemilik rumah yang menaik taraf daripada flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), kata Cik Wong Shanting, ketua penyelidikan dan risikan pasaran di ERA Singapore.

Menurut data Sistem Maklumat Hartanah (Realis) Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), sekurang-kurangnya 331 unit dibeli oleh penaik taraf HDB pada Oktober, mewakili peningkatan 5.8 peratus bulan ke bulan daripada 313 unit yang dicatatkan pada September.

Encik Sandrasegeran berkata peningkatan itu menunjukkan “permintaan yang berterusan” daripada penaik taraf HDB, yang semakin yakin dengan pelaburan hartanah jangka panjang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg