Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga median jualan semula HDB 4-bilik lebihi $1j di tiga estet pada Q2 2025

Harga jualan semula flat secara keseluruhan naik 0.9 peratus pada suku kedua
Jul 25, 2025 | 12:09 PM
HDB, Toa Payoh, jualan semula
Di Toa Payoh, harga median jualan semula flat empat bilik ialah $1.004 juta, manakala di Queenstown, harga median bagi flat empat bilik ialah $1 juta. - Foto fail ST

Walaupun pertumbuhan harga jualan semula flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) secara keseluruhan terus sederhana pada suku kedua 2025, harga median jualan semula flat empat bilik telah melepasi paras sejuta dolar di Kawasan Tengah (Central Area), Toa Payoh dan Queenstown.

Harga median jualan semula bagi flat empat bilik di Kawasan Tengah berada pada $1.2 juta pada suku kedua, berdasarkan data suku tahunan yang dikeluarkan HDB pada 25 Julai, lapor The Business Times (BT).

Di Toa Payoh, harga median jualan semula flat empat bilik ialah $1.004 juta, manakala di Queenstown, harga median bagi flat empat bilik ialah $1 juta.

Sementara itu, harga median jualan semula bagi flat lima bilik di dua estet semakin menghampiri paras $1 juta.

Flat lima bilik di Toa Payoh mencatatkan harga median jualan semula sebanyak $985,000 pada suku kedua. 

Di Kallang-Whampoa, harga median jualan semula flat pada tempoh yang sama ialah $910,000.

Secara keseluruhannya, harga jualan semula flat perumahan awam meningkat sebanyak 0.9 peratus pada suku kedua – kenaikan suku tahunan yang paling sedikit sejak suku kedua 2020. 

Ini adalah suku ketiga berturut-turut pertumbuhan harga menyederhana, selepas harga meningkat 1.6 peratus pada suku pertama 2025, menurut HDB. 

Berbanding 2024, harga meningkat sebanyak 8 peratus.

Jumlah urus niaga jualan semula flat meningkat 7.8 peratus pada suku kedua kepada 7,102 unit, berbanding 6,590 unit pada suku sebelumnya.

Berbanding 2024, jumlah unit yang dijual berkurangan sebanyak 3.4 peratus.

Jumlah permohonan yang diluluskan untuk menyewakan flat HDB meningkat 4.2 peratus kepada 10,066. Ini juga mencatatkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding 2024.

Sebanyak 58,720 flat HDB telah disewakan pada akhir suku kedua – penurunan sebanyak 1.4 peratus berbanding suku pertama.

Harga sewa median tertinggi ialah $4,400 bagi flat lima bilik di Queenstown atau flat empat bilik di Kawasan Tengah, manakala harga sewa median terendah adalah bagi flat dua bilik di Sengkang pada $2,250.

HDB meluluskan 10,066 kes untuk menyewakan flat – peningkatan sebanyak 4.2 peratus dari suku sebelumnya dan 5.4 peratus berbanding 2024.

Pada Oktober, HDB akan melancarkan sekitar 9,100 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Ang Mo Kio, Bedok, Bishan, Bukit Merah, Jurong East, Sengkang, Toa Payoh dan Yishun.

Ini akan merangkumi flat pertama di Greater Southern Waterfront dan Mount Pleasant. 

Apartmen penjagaan masyarakat (‘community-care’) juga akan ditawarkan di Sengkang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg