Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) naik 0.9 peratus dari April hingga Jun, meneruskan trend pertumbuhan sederhana sejak beberapa suku kebelakangan ini, menurut anggaran awal yang dikeluarkan HDB pada 1 Julai.
Indeks harga flat jualan semula (RPI) menurun daripada 1.6 peratus yang dicatatkan dalam suku pertama 2025 – iaitu dari Januari hingga Mac.
Menurut HDB, kenaikan 0.9 peratus dalam suku kedua menandakan kali ketiga berturut-turut harga flat jualan semula meningkat secara lebih perlahan, dan ini juga merupakan kadar pertumbuhan suku tahunan paling rendah sejak 2020.
Jumlah penjualan semula flat HDB juga merosot, lapor The Straits Times (ST).
Sebanyak 6,981 flat telah dijual dari April hingga 29 Jun, turun 5 peratus berbanding 7,352 flat yang dijual dalam tempoh sama pada 2024.
Kelembapan dalam permintaan dan harga jualan semula ini berlaku di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi yang lebih meluas.
Pemerintah sebelum ini menyatakan bahawa pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura dijangka sederhana pada 2025, berikutan ketegangan perdagangan sejagat dan tanda-tanda awal kelembapan dalam permintaan tenaga kerja yang menjejas keyakinan pasaran.
Harga hartanah kediaman privet turut terkesan dengan ketidaktentuan sejagat, apabila pertumbuhannya terus kehilangan momentum dalam suku kedua.
Demikian menurut anggaran awal yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 1 Julai.
Indeks harga hartanah kediaman privet meningkat 0.5 peratus dalam suku kedua, berbanding kenaikan 0.8 peratus pada suku pertama.
“Selaras dengan penurunan dalam bilangan unit yang dilancarkan untuk jualan, jumlah urus niaga jualan merosot sekitar 40 peratus secara suku ke suku dalam suku kedua 2025,” kata URA.
Sebanyak 4,340 rumah privet terjual dalam suku kedua, berbanding 7,261 unit pada suku sebelumnya.
Di serata negara, harga hartanah tidak berhalaman meningkat sebanyak 0.5 peratus dalam suku kedua, selepas kenaikan 1 peratus pada suku pertama.
Namun begitu, terdapat perbezaan dalam pertumbuhan harga mengikut daerah.
Di Kawasan Tengah Utama (CCR), harga hartanah tidak berhalaman meningkat sebanyak 2.3 peratus, berbanding kenaikan 0.8 peratus sebelum ini.
Di kawasan tengah lain, harga hartanah tidak berhalaman turun 1.1 peratus, berbanding peningkatan 1.7 peratus pada suku sebelumnya.
Sementara itu, di Luar Kawasan Tengah (OCR), harga hartanah tidak berhalaman meningkat sebanyak 0.9 peratus, berbanding kenaikan 0.3 peratus sebelum ini.
Harga hartanah berhalaman pula naik sebanyak 0.7 peratus, meningkat daripada kenaikan 0.4 peratus pada suku pertama.
Penganalisis hartanah secara umumnya mengaitkan kelembapan pertumbuhan harga itu dengan jumlah pelancaran projek baru yang lebih rendah dalam suku kedua berbanding suku pertama.
Ini disebabkan oleh tempoh pilihan raya umum (GE) pada April dan Mei, serta cuti sekolah pada Jun, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ERA Singapore, Encik Marcus Chu.
Meskipun berdepan ketidaktentuan sejagat, Ketua Penyelidikan dan Analitik Data di Singapore Realtors Inc, Encik Mohan Sandrasegeran, menjangkakan pasaran hartanah kediaman privet akan kekal kukuh pada separuh kedua, didorong oleh pelancaran projek perumahan baru akan datang.
Pada 24 Jun, URA mengumumkan sebanyak 4,725 unit kediaman privet akan dilancarkan pada separuh kedua di bawah senarai yang telah disahkan, menjadikan jumlah bekalan disahkan bagi 2025 hampir mencecah 10,000 unit.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg