Topik diikuti
Pergi ke BHkuHarga minyak lonjak susulan serangan balas AS terhadap Iran
Harga minyak lonjak susulan serangan balas AS terhadap Iran
Harga minyak lonjak susulan serangan balas AS terhadap Iran
TOKYO: Harga minyak melonjak pada 8 Julai – selepas meningkat hampir 3 peratus pada hari sebelumnya – menyusuli langkah Amerika Syarikat melancarkan gelombang serangan terhadap Iran sebagai tindak balas terhadap rantaian serangan Teheran ke atas kapal di Selat Hormuz.
Harga minyak mentah Brent, iaitu penanda aras harga minyak sejagat, melonjak 3.2 peratus kepada AS$76.55 ($98.91) setong setakat 1.36 petang waktu Singapura.
Harga minyak mentah West Texas Intermediate pula melambung 3.2 peratus kepada AS$72.72.
Niaga hadapan gas asli Eropah turut mencatat peningkatan sebanyak 4.9 peratus.
Tentera Amerika mula melancarkan “serangan hebat” sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas kapal-kapal di Selat Hormuz, tambah Markas Pemerintahan Pusat Amerika.
Letupan kedengaran di sebuah pulau berhampiran selat itu, lapor agensi berita Iran, Mehr, manakala Timbalan Menteri Luar Iran, Encik Kazem Gharibabadi, berkata Teheran akan membalas serangan Amerika itu.
Jabatan Perbendaharaan Amerika menarik balik pengecualian sekatan yang sebelum ini membenarkan Teheran menjual minyak, sekali gus membatalkan satu aspek penting dalam perjanjian damai sementara yang dipersetujui dengan negara itu.
Tiga kapal diserang di laluan air berkenaan, termasuk sebuah kapal pengangkut gas dan sebuah kapal tangki minyak milik Arab Saudi, menjadikan 7 Julai sebagai hari yang mencatatkan bilangan kejadian terbesar sejak perjanjian itu berkuat kuasa pada Jun 2026.
Lonjakan semula harga minyak itu mengancam pasaran tenaga sejagat dengan gelombang gangguan baharu, selepas harga niaga hadapan merosot pada suku kedua 2026 apabila ketegangan di Timur Tengah itu reda seketika.
Serangan yang dilancarkan Iran dan Amerika akan menghalang para pemilik kapal dan pengeluar di rantau itu daripada melalui Selat Hormuz, yang menghubungkan pembekal dari Teluk Parsi ke pasaran sejagat.
Sebelum kejadian terkini itu meletus, beberapa bank termasuk Goldman Sachs telah memberi amaran bahawa pasaran minyak mentah berisiko mengalami lebihan bekalan semula.
Hal ini berikutan tindakan pengeluar serantau yang berusaha memulihkan pengeluaran minyak mentah, selain kegiatan laluan kapal di selat berkenaan yang kembali meningkat.
Di samping itu, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak ‘Plus’ (Opec+) juga terus melaksanakan pelan pengurangan sekatan bekalan.
Pakar analisis tenaga kanan di MST Marquee, Encik Saul Kavonic, berkata ketegangan terbaharu itu adalah “peringatan kepada pasaran bahawa laluan melalui selat tersebut masih rapuh”.
Menurut beliau, perkembangan tersebut bercanggah dengan sentimen semasa yang menjangkakan pasaran bakal dipenuhi dengan lebihan bekalan.
Keadaan itu juga boleh menakutkan pelabur yang telah bertaruh terhadap kejatuhan harga minyak untuk segera menutup pelaburan mereka.
Kawalan terhadap Selat Hormuz merupakan antara titik pertikaian utama antara Washington dengan Teheran.
Pada 7 Julai, Iran memaklumkan kepada agensi perkapalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa ia mempunyai kuasa ke atas sebahagian laluan air itu, yang sebelum ini mengendalikan kira-kira satu perlima daripada perdagangan minyak sejagat setiap hari.
Dekan Bersekutu di Pusat Ehwal Global Universiti New York (NYU), Profesor Carolyn Kissane, berkata lonjakan harga minyak mentah itu dijangka bersifat sementara, kecuali terdapat serangan lanjutan.
Tindakan Amerika itu “memberi isyarat jelas kepada Iran bahawa ia tidak boleh bertindak sesuka hati tanpa menanggung risiko kembali kepada konflik bersenjata berskala besar,” kata Profesor Kissane.
“Ini adalah norma baharu – gencatan senjata yang hanya pada nama – dan kita akan melihat episod seperti ini berlaku secara berkala. Pasaran juga sudah mula terbiasa dengannya.” – Agensi berita.

