ExxonMobil menjangka akan mengurangkan bilangan pekerjanya di Singapura sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus.
Ini di samping memindahkan pejabat mereka ke tapak kilang di Jurong dari pusat bandar menjelang akhir 2027.
Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha penyusunan semula di peringkat sejagat, kata syarikat tersebut pada 1 Oktober.
Exxon kini mempunyai kira-kira 3,500 pekerja di Singapura, dan pemotongan pekerja itu dijangka melibatkan sehingga 500 kakitangan, walaupun syarikat itu enggan memberikan jumlah yang pasti, lapor akhbar The Straits Times.
Rancangan untuk operasi Exxon di Singapura dibuat selepas syarikat gergasi minyak Amerika Syarikat itu mengumumkan pada 30 September bahawa ia akan memberhentikan 2,000 pekerja di seluruh dunia, khususnya di Canada dan seluruh Kesatuan Eropah.
Ia juga adalah sebagai sebahagian daripada rancangan penyusunan semula jangka panjang yang akan menjejas kira-kira 3 peratus hingga 4 peratus tenaga kerja syarikat itu.
“Kami membuat perubahan pada cara kami bekerja supaya boleh meningkatkan daya saing dalam landskap yang sentiasa berkembang, dan meletakkan perniagaan untuk kejayaan masa depan,” kata Exxon Singapore dalam satu kenyataan e-mel.
Exxon menambah bahawa perubahan tersebut akan membentuk dan menyusun semula organisasi itu.
“Walaupun perancangan terperinci masih dijalankan dan reka bentuk organisasi masih belum lengkap, kami menjangka ini akan melibatkan anggaran pemberhentian pekerja sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus menjelang akhir 2027,” katanya.
Syarikat itu, yang memulakan pengeluaran di kemudahan baru pada Oktober di kompleks penapisan Singapura untuk mengeluarkan stok asas daripada bahan api sisa, berkata ia akan terus mengekalkan kehadiran pengilangannya di sini.
Exxon mengendalikan dua tapak penapisan di Singapura, iaitu Pioneer Road dan Pulau Jurong, dengan gabungan kapasiti pemprosesan minyak mentah sebanyak 592,000 tong sehari.
Exxon merancang memindahkan pekerja yang berpangkalan di pejabatnya di HarbourFront ke Penapisan Jurong di Pioneer Road dalam kemudahan baru yang diperluas menjelang akhir 2027.
Chevron, ConocoPhillips dan BP adalah antara syarikat minyak utama yang turut mengumumkan ribuan pemotongan pekerjaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Ini disebabkan harga minyak mentah jatuh pada 2025 sebagai tindak balas kepada peningkatan bekalan daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec) dan negara bersekutu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg