Harga hartanah rumah privet di Singapura hanya meningkat sebanyak 0.7 peratus pada suku keempat 2025, menjadikan kenaikan sepanjang 2025 kepada 3.4 peratus.
Anggaran Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 2 Januari menunjukkan ia adalah kadar kenaikan paling perlahan sejak 2020.
Peratusan itu lebih rendah berbanding kenaikan 3.9 peratus pada 2024, dan jauh lebih rendah daripada 6.8 peratus pada 2023.
Secara menyeluruh, harga rumah bukan berhalaman menyusut tipis 0.1 peratus pada suku keempat, berbanding kenaikan 0.8 peratus pada suku ketiga, lapor The Straits Times (ST).
Dalam segmen bukan berhalaman, harga di Kawasan Tengah Utama (CCR) menjunam 3.2 peratus, berbanding kenaikan 1.7 peratus pada suku ketiga 2025.
Sebaliknya, harga di Baki Kawasan Tengah (RCR) meningkat 0.7 peratus, mengatasi pertumbuhan 0.3 peratus pada suku ketiga.
Harga di Luar Kawasan Tengah (OCR) turut meningkat, mencatat 1 peratus, sedikit lebih tinggi daripada 0.8 peratus pada suku sebelumnya.
Sementara itu, harga rumah berhalaman melonjak 3.5 peratus pada suku keempat, selepas hanya meningkat 1.4 peratus pada suku sebelumnya.
Pada 2025, harga rumah berhalaman melonjak 7.7 peratus, berbanding peningkatan kecil 0.9 peratus pada 2024, disebabkan bekalan yang terhad, kata Ketua Penyelidikan Cushman & Wakefield, Encik Wong Xian Yang.
Kenaikan harga turut didorong oleh lebih banyak jualan baru pada suku keempat serta beberapa pelancaran terkini.
Ia termasuk Skye at Holland, Zyon Grand, Penrith dan The Continuum – yang dijual pada harga median melebihi $2,500 setiap kaki persegi (psf), kata Cik Christine Sun daripada Realion (OrangeTee & ETC) Group.
Beliau menambah, lebih 50 peratus urus niaga pada suku keempat bernilai sekurang-kurangnya $2 juta, berbanding 47.1 peratus pada suku ketiga.
Salah satu pemacu utama ialah penurunan ketara kadar faedah, kata Ketua Pegawai Eksekutif, PropNex, Encik Kelvin Fong.
Secara keseluruhan, pasaran utama mencatat prestasi cemerlang pada 2025, dengan 10,667 unit rumah privet baru (tidak termasuk Kondominium Eksekutif atau EC) terjual, meningkat daripada 6,469 unit pada 2024.
Jumlah urus niaga mencapai paras tertinggi dalam tempoh empat tahun, sejak 13,027 unit dijual pada 2021.
Namun, pada suku keempat, jumlah urus niaga menyusut 27.1 peratus kepada 5,399 transaksi, turun daripada 7,404 transaksi pada suku ketiga, disebabkan suasana penjualan perlahan yang mengikut musim pada hujung tahun.
Tahun 2025 merupakan tahun mencabar akibat ketidaktentuan ekonomi sejagat dan dasar perdagangan Amerika Syarikat yang tidak menentu.
Ia menyebabkan jualan rumah privet baru merosot pada suku kedua selepas permulaan kukuh pada suku pertama, kata Ketua Penyelidikan, CBRE Asia Tenggara, Cik Tricia Song.
Namun begitu, kejatuhan ketara kadar faedah dalam negara, digabungkan dengan permintaan tertangguh dan pelancaran baru yang menarik, mendorong pemulihan kukuh pada separuh kedua 2025, tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg