Harga saham syarikat penerbangan Singapura, Singapore Airlines (SIA), merosot dalam sesi dagangan pagi pada 29 Julai, apabila pasaran memberi reaksi terhadap pengumuman bahawa keuntungan suku pertama kumpulan SIA berkurangan secara ketara.
Harga saham SIA turun 8.6 peratus, atau 65 sen, kepada $6.95 hanya beberapa minit selepas sesi dagangan bermula.
Ini adalah penurunan terbesar bagi harga saham SIA yang berlaku pada hari dagangan yang sama, sejak Ogos 2024.
Kerugian saham tersebut kemudian berkurangan dan harga saham ditutup 7.4 peratus atau 56 sen lebih rendah kepada $7.04.
Sebanyak 38.5 juta saham bertukar tangan pada hari tersebut.
SIA menyatakan selepas waktu dagangan pada 28 Julai, bahawa keuntungan bersihnya merosot 59 peratus kepada $186 juta bagi tempoh tiga bulan hingga Jun, berbanding $452 juta bagi tempoh sama pada 2024, lapor The Straits Times (ST).
Menurut SIA, ini disebabkan pendapatan faedah lebih rendah, dan perkongsian kerugian yang dicatatkan oleh syarikat bersekutu.
Syarikat penerbangan Air India, dengan SIA memegang 25.1 peratus kepentingan dalam syarikat itu, membentuk sebahagian besar kerugian daripada syarikat bersekutu.
Air India sebelum ini tidak termasuk dalam keputusan kewangan kumpulan SIA bagi suku yang sama pada 2024.
SIA hanya mengambil kira prestasi kewangan Air India bermula Disember 2024, berikutan penyepaduan penuh syarikat penerbangan Vistara ke dalam Air India.
Penganalisis CGS International, Encik Raymond Yap, berkata SIA menunjukkan prestasi kurang baik disebabkan perkongsian kerugian yang agak ketara daripada Air India, walaupun perniagaan di Singapura berjalan dengan baik.
Beliau menyatakan bahawa perniagaan penumpang dan kargo SIA di Singapura terus menunjukkan prestasi baik, dengan keuntungan operasi lebih tinggi disokong oleh kos bahan api lebih rendah dan susut nilai dolar Amerika.
Beliau menambah bahawa SIA mungkin akan terus terjejas oleh prestasi kewangan lemah Air India.
Ini berikutan jumlah penerbangan Air India yang berkurangan, selepas nahas pesawat Air India 171 pada Jun yang mengorbankan nyawa.
Penganalisis DBS Bank, Cik Tabitha Foo, memberitahu CNBC bahawa selepas nahas itu, Air India dilaporkan mengalami tempahan penerbangan yang merosot 20 peratus bagi laluan domestik dan antarabangsa, manakala tambang penerbangannya turun antara 8 hingga 15 peratus, secara purata.
SIA bersama syarikat penerbangan tambang rendah miliknya, Scoot, membawa seramai 10.3 juta penumpang, meningkat 6.9 peratus berbanding suku yang sama pada 2024.
Walaupun permintaan bagi perjalanan udara masih memberangsangkan pada suku kedua disebabkan perjalanan lebih kerap pada musim puncak, iaitu musim panas, SIA menjangkakan masa tidak menentu pada masa depan.
“Industri penerbangan sedunia terus menghadapi persekitaran operasi tidak menentu, dengan cabaran daripada perkembangan geopolitik, turun naik ekonomi makro, hingga ke pasaran berubah-ubah dan kekangan rantaian bekalan.
“Kumpulan ini akan terus bersikap tangkas dan proaktif dalam menangani perubahan dalam corak permintaan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg