Semua penerbangan Singapore Airlines (SIA) antara Singapura dengan Kemboja, dan Singapura dengan Thailand masih terus beroperasi seperti biasa.
Ini walaupun berlaku pertikaian sempadan antara Thailand dengan Kemboja yang mengorbankan nyawa.
Jurucakap syarikat penerbangan Singapura itu berkata bahawa keselamatan pelanggan dan pekerjanya sentiasa menjadi keutamaan.
“Kami akan terus memantau keadaan ini dengan teliti dan membuat penyesuaian penerbangan jika perlu,” tambahnya.
Pertikaian sempadan yang berlarutan antara Thailand dengan Kemboja meletus menjadi serangan berdarah pada 24 Julai, apabila pasukan tentera kedua-dua negara itu bertempur di beberapa lokasi, mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang.
Ketegangan antara kedua-dua negara itu adalah sebahagian daripada pertikaian lebih luas selama lebih seabad dan melibatkan sebahagian kawasan yang dipertikaikan di Segi Tiga Zamrud – lokasi sempadan antara Thailand, Kemboja dan Laos, lapor The Straits Times (ST).
Pemimpin Thailand dan Kemboja telah menghadiri satu rundingan damai berhubung konflik sempadan tersebut di Malaysia pada 28 Julai, di Pejabat Perdana Menteri Malaysia di Putrajaya, dengan Malaysia bertindak sebagai perantara.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menjemput wakil kedua-dua negara itu ke Malaysia bagi membincangkan konflik tersebut.
Malaysia, selaku pengerusi perkumpulan serantau Asean, telah memaklumkan kerajaan Thailand bahawa Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, akan turut menghadiri rundingan tersebut, menurut kenyataan itu.
Menurut akhbar berbahasa Inggeris Thailand, The Nation, penerbangan antara Thailand dengan Kemboja tidak terjejas kerana kawasan larangan yang diisytiharkan oleh Kemboja adalah terhad dan tidak memberi kesan ketara kepada trafik udara yang berlepas dari Thailand.
Laluan penerbangan gantian juga tersedia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg