Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Model penerbangan kos rendah tidak sesuai bagi semua lapangan terbang

Ketua badan pengangkutan udara sejagat ulas kelangsungan operasi syarikat penerbangan kos rendah di lapangan terbang kos tinggi
Jul 16, 2025 | 5:50 PM
Willie Walsh, IATA
Ketua Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Encik Willie Walsh, berkata dalam satu sesi media pada 16 Julai bahawa beliau sangat kagum dengan pembangunan Terminal 5, Lapangan Terbang Changi. - Foto ST

Model syarikat penerbangan kos rendah belum lagi terkubur, namun ia tidak semestinya berkesan di semua lapangan terbang, kata Ketua Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata), Encik Willie Walsh, dalam satu sesi media pada 16 Julai.

Ketua badan perdagangan sejagat yang mewakili sekitar 350 anggota itu menambah mungkin tidak masuk akal untuk syarikat penerbangan kos rendah beroperasi di sesetengah lapangan terbang, disebabkan sifat operasi atau struktur kosnya.

“Meskipun ada syarikat penerbangan kos rendah yang keluar dari pasaran, saya rasa ia tidak bermakna model perniagaan ini tidak relevan untuk masa depan.

“Saya benar-benar percaya bahawa model ini relevan dan akan terus kekal begitu. Namun, ia tidak semestinya berkesan di setiap lapangan terbang.

“Syarikat penerbangan yang dilabel sebagai ‘kos rendah’ atau ‘bajet’ juga tidak semestinya menjamin kejayaan kewangan mereka,” kata Encik Walsh.

Kelangsungan operasi syarikat penerbangan kos rendah di lapangan terbang berkos tinggi seperti Lapangan Terbang Changi, menjadi tumpuan selepas anak syarikat bajet Qantas Airways, Jetstar Asia, mengumumkan operasinya di Singapura akan tamat pada akhir Julai.

Menurut Jetstar Asia, antara faktor utama yang mendorong langkah tersebut ialah persaingan yang semakin sengit dan kos operasi yang semakin meningkat.

Industri penerbangan merupakan bidang yang sangat berdaya saing, ujar Encik Walsh.

Menurut Encik Walsh, meskipun 408 syarikat penerbangan baru telah ditubuhkan sepanjang sedekad lalu hingga Disember 2024, terdapat 420 syarikat juga yang menamatkan operasi. Ini menjadikan kerugian bersih sebanyak 12 syarikat.

Keuntungan pada peringkat sejagat pula sangat tipis, dengan jangkaan margin keuntungan bersih 3.7 peratus pada 2025, lapor The Business Times (BT).

“Lapangan Terbang Heathrow juga serupa. Contohnya, Heathrow tidak mempunyai operasi kos rendah yang sebenar, terutama disebabkan kos lapangan terbang (yang tinggi) dan akses kepada slot penerbangan (yang terhad),” jelas Encik Walsh.

Dalam wawancara tersebut, Encik Walsh membandingkan Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi dengan T5 Heathrow, dengan menyifatkan Changi sebagai lapangan terbang yang lebih cekap dan mengagumkan.

Pasukan Lapangan Terbang Changi telah membentangkan projek mega itu kepada Encik Walsh pada 15 Julai, sambil beliau sendiri turut terlibat dalam pembangunan T5 Heathrow.

Bagi Encik Walsh, perancangan, pemikiran, serta kriteria reka bentuk pembangunan di Singapura itu “sangat mengagumkan”.

T5 di Lapangan Terbang Changi baru sahaja memulakan kerja pembinaan pada Mei dan dijangka siap pada pertengahan 2030-an.

Memberi gambaran perbezaan besar dari segi pelaburan dan inovasi teknologi yang diterapkan dalam projek terbaru Lapangan Terbang Changi itu, berbanding lapangan terbang di Eropah yang pernah dilihatnya, Encik Walsh berkata: “Ia umpama siang dan malam. Sebahagian kerja yang saya lihat Changi jalankan, yang akhirnya akan memberi manfaat kepada seluruh industri, adalah dalam bidang automasi dan kecerdasan buatan (AI).

“Malangnya, kita tidak melihat pendekatan yang sama diamalkan di lapangan terbang utama di Eropah.”

Encik Walsh juga percaya terdapat peluang sebenar untuk melabur dalam teknologi robotik yang mampu memperbaiki pengalaman pelanggan, meningkatkan keselamatan operasi serta mengurangkan kos operasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg