Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga sewa HDB, kondo naik pada Nov

Ini walau jumlah transaksi sewa turun di tengah musim perayaan hujung tahun
Dec 19, 2024 | 5:15 PM
Harga sewa perumahan awam bagi November naik 0.4 peratus berbanding Oktober.
Harga sewa perumahan awam bagi November naik 0.4 peratus berbanding Oktober. - Foto ST

Harga sewa flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan kondominium naik sedikit pada November, walaupun jumlah transaksi sewa merosot di tengah-tengah musim perayaan hujung tahun.

Data awal SRX dan 99.co yang dikeluarkan pada 19 Disember menunjukkan harga sewa kondominium naik 0.2 peratus pada November berbanding Oktober.

Kenaikan tersebut didorong oleh sewa yang meningkat 0.8 peratus di Luar Kawasan Tengah (OCR), yang lebih daripada mengimbangi sewa yang turun 0.6 peratus di Kawasan Tengah Utama (CCR), dan susut 0.1 peratus di Baki Kawasan Tengah (RCR).

Ketua penyelidik dan pakar strategi di OrangeTee Group, Cik Christine Sun, menyatakan ini merupakan bulan kedua berturut-turut harga sewa perumahan privet meningkat, lapor The Business Times (BT).

“Pemulihan pasaran sewa privet dijangka berterusan sehingga 2025, dengan ramalan pertumbuhan sebanyak 2 hingga 4 peratus.

“Pemulihan ini dijangka didorong oleh keadaan ekonomi makro yang bertambah baik, peluang pekerjaan yang meningkat selain bekalan rumah sewa yang terhad,” jelas beliau.

Ketua Pegawai Data dan Analitik di 99.co, Encik Luqman Hakim, percaya kenaikan harga sewa tersebut menunjukkan pemulihan berterusan menyusuli trend harga merosot pada separuh pertama 2024, dan mungkin menggambarkan “trend meningkat” bagi sewa kondominium pada 2025, dirangsang oleh prospek ekonomi yang semakin cerah.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Huttons Asia, Encik Mark Yip, pula menganggap kenaikan harga sewa pada November sebagai “mantap”, sambil menjelaskan ia disebabkan kurangnya tekanan ke atas pemilik rumah untuk menurunkan harga sewa.

Beliau berpandangan harga sewa rumah privet bagi 2024 mungkin agak sama dengan paras sewa pada 2023, disebabkan permintaan lebih kukuh daripada pasaran pekerjaan yang bertambah baik.

Sekitar 5,010 unit rumah disewa pada November – 12.3 peratus lebih rendah berbanding 5,712 unit pada Oktober.

Sewa rumah privet di OCR membentuk 36.3 peratus daripada jumlah keseluruhan transaksi sewa, diikuti 33.6 peratus di RCR dan 30.2 peratus di CCR.

Menurut Cik Sun, kemerosotan jumlah unit kondominium yang disewa menepati jangkaan beliau, kerana ramai ekspatriat bercuti di luar negara semasa musim perayaan hujung tahun.

Sewa perumahan awam bagi November naik 0.4 peratus berbanding Oktober, dengan harga di kawasan matang meningkat 0.2 peratus, dan harga di kawasan bukan matang naik 0.5 peratus.

Harga sewa flat empat bilik HDB naik 1.3 peratus, mengimbangi kesan penurunan harga sewa bagi flat lima bilik (-0.7 peratus) dan flat eksekutif (-1 peratus).

Harga sewa flat tiga bilik HDB pada November pula agak sama dengan Oktober.

Jumlah sewa bagi flat HDB merosot 13.8 peratus kepada sekitar 2,155 unit pada November, berbanding 2,499 unit pada Oktober.

Berdasarkan jenis bilik, flat tiga bilik membentuk 32.7 peratus daripada jumlah sewa HDB, diikuti 38.1 peratus bagi flat empat bilik, 24.1 peratus bagi flat lima bilik, dan 5.1 peratus bagi flat eksekutif.

“Pemulihan pasaran sewa privet dijangka berterusan sehingga 2025, dengan ramalan pertumbuhan sebanyak 2 hingga 4 peratus. Pemulihan ini dijangka didorong oleh keadaan ekonomi makro yang bertambah baik, peluang pekerjaan yang meningkat selain bekalan rumah sewa yang terhad.”
Cik Christine Sun, Ketua penyelidik dan pakar strategi di OrangeTee Group.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg