Pemerintah akan memberi rebat cukai hartanah sekali sahaja kepada semua rumah yang didiami pemiliknya pada 2025, sebagai langkah membantu mengurangkan keprihatinan kos sara hidup pemilik rumah.
Flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang didiami pemilik akan mendapat rebat 20 peratus, manakala hartanah kediaman privet yang didiami pemilik akan mendapat rebat 15 peratus tetapi dihadkan pada $1,000, kata Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) dalam satu kenyataan pada 29 November.
Rebat cukai hartanah itu, bersama perubahan peringkat nilai tahunan (AV) rumah didiami pemilik yang akan bermula dari 2025, bermakna semua flat HDB sedemikian dan lebih 90 peratus hartanah kediaman privet akan menyaksikan bil cukai lebih rendah pada 2025.
“Ini akan membantu rakyat Singapura mengurangkan keprihatinan kos sara hidup,” kata MOF dan Iras dalam kenyataan itu.
Cukai hartanah dikira berdasarkan AV hartanah, iaitu anggaran sewa yang boleh diperolehi dalam setahun sekiranya rumah mereka disewakan.
Semasa pembentangan Belanjawan pada Februari 2024, pemerintah mengumumkan ia akan meningkatkan peringkat AV bagi rumah didiami pemilik mulai 1 Januari 2025.
Di bawah perubahan itu, had AV bagi sifar cukai untuk rumah didiami pemilik akan dinaikkan daripada $8,000 kepada $12,000 pada 1 Januari.
Ini bermakna semua flat HDB satu dan dua bilik tetap tidak perlu membayar cukai hartanah pada 2025.
Bagi flat HDB lain, cukai hartanah akan terus dikira pada kadar marginal 4 peratus bagi bahagian AV yang melebihi $12,000.
Rebat sekali sahaja yang diberikan itu akan secara automatik mengimbangi sebarang cukai hartanah yang perlu dibayar.
Purata cukai hartanah yang akan dibayar pemilik rumah setiap bulan pada 2025 selepas rebat ialah $1.90 bagi flat tiga bilik; $11.95 (flat empat bilik); $15.40 (flat lima bilik); dan $17.15 (flat eksekutif tidak termasuk kondominium eksekutif).
MOF dan Iras berkata semua pemilik hartanah akan menerima bil cukai hartanah 2025 mereka mulai Disember 2024.
Pemilik rumah digalak memohon Giro supaya dapat melakukan pembayaran ansuran tanpa faedah hingga 12 bulan atau pilih potongan sekali.
Individu boleh memohon eGIRO melalui laman myTax Portal untuk membuat aturan Giro.
Di samping itu, pesara layak boleh memohon Skim GIRO Dilanjutkan bagi Hartanah Kediaman (Pesara), yang menyediakan pelan bayaran ansuran lebih lama hingga 24 bulan untuk pembayaran cukai hartanah.
“Pemilik hartanah yang menghadapi cabaran kewangan boleh bertanya kepada Iras bagi bantuan untuk membincangkan pelan pembayaran sesuai sebelum tarikh akhir pembayaran.
“Mereka boleh memohon pelan pembayaran lebih lama melalui khidmat digital ‘Apply/Manage GIRO Plan’ di laman myTax Portal menggunakan Singpass atau Akaun Pengguna Asing Singpass,” kata MOF dan Iras.
Maklumat lanjut mengenai bil cukai hartanah 2025 boleh didapati di laman Iras.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg