Harga tanah yang lebih rendah dan menarik dijangkakan bagi lapan tender pemerintah untuk projek kediaman dari Mei hingga September 2025.
Harga lebih menarik itu juga dijangka menyokong usaha penambahan semula tanah oleh para pemaju, menurut penganalisis penyelidikan ekuiti Citi, Encik Brandon Lee, dalam satu laporan syarikat itu pada 15 Mei.
Data terkini daripada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menunjukkan terdapat 663 unit rumah privet yang dijual pada April 2025 oleh pemaju Singapura – turun 9 peratus berbanding Mac 2025.
Namun, jumlah tersebut merupakan peningkatan 120 peratus berbanding April 2024.
Sekitar 759 unit rumah privet, termasuk kondominium eksekutif (EC), dijual pada April 2025, berbanding 1,344 unit yang dilancarkan.
Sebagai perbandingan, sebanyak 1,510 unit rumah privet dijual dan 1,315 unit dilancarkan pada Mac 2025.
Pada April 2024, sebanyak 363 unit rumah privet dijual dan 278 unit dilancarkan, lapor The Business Times.
Penjualan lebih perlahan tersebut disebabkan oleh kurangnya pelancaran projek kediaman baru yang popular dalam pasaran umum, di samping sentimen pembeli yang lebih berhati-hati akibat isu berkaitan perdagangan, kata Encik Lee.
“Kebanyakan – iaitu 59 peratus – daripada pelancaran projek kediaman baru berada dalam segmen mewah yang kurang popular, dan hanya empat projek berada dalam segmen pertengahan pasaran umum di Upper Thomson Road, Canberra Crescent, De Souza Avenue, dan Margaret Drive bagi baki tahun ini (2025),” tambah beliau.
Oleh itu, Encik Lee berpendapat penjualan rumah privet peringkat pertama secara purata akan mencapai sekitar 500 hingga 700 unit rumah sebulan dalam beberapa bulan akan datang, berbanding 1,000 hingga 1,600 unit rumah sebulan dari Januari hingga Februari 2025.
Penjualan pada tahap tersebut disokong terutamanya oleh kadar pinjaman perumahan yang kini lebih rendah.
Projek terlaris ialah One Marina Gardens yang mempunyai 937 unit rumah, dengan 384 unit dijual pada harga median $2,948 setiap kaki persegi (psf), dan kadar pembelian 41 peratus. Ini diikuti Bloomsbury Residences yang mempunyai 358 unit rumah, dengan 107 unit dijual pada harga $2,454 psf, dan kadar pembelian 30 peratus.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg