Walaupun menghadapi keadaan ekonomi tidak menentu disebabkan tarif Amerika Syarikat dan perkembangan geopolitik lain, sektor perkhidmatan karbon Singapura yang kian berkembang, terus berusaha gigih untuk mencapai pertumbuhan.
Ini dilakukan dengan memperoleh lebih banyak pembiayaan dan membangunkan bakat.
Bercakap dalam acara Wawasan Sidang Puncak Iklim GenZero pada 5 Mei, Menteri Tenaga Manusia dan Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng, mengumumkan beberapa usaha untuk meningkatkan sektor itu agar perdagangan karbon kekal sebagai satu alat utama bagi membantu Singapura membangunkan ekonominya dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Untuk itu, satu geran yang dibentuk baru-baru ini oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) telah menerima suntikan sebanyak $20 juta.
Geran Pembangunan Projek Karbon ini menyokong syarikat tempatan pada peringkat awal dalam membangunkan pelbagai projek dan kredit karbon berkualiti tinggi.
Geran tersebut – yang jumlahnya tidak didedahkan – akan membantu syarikat penerima mengatasi masalah kekurangan dana kritikal yang dihadapi oleh projek karbon peringkat awal, seperti menjalankan kajian kebolehlaksanaan, dan mendapatkan pembeli jangka panjang bagi kredit mereka.
Dana $20 juta itu diperoleh daripada sebuah dana baru yang bertujuan menarik pembiayaan daripada pejabat keluarga golongan kaya, dan yayasan dermawan yang ingin menyumbang ke arah projek karbon.
Dana baru yang berpandukan nasihat penderma ini dilancarkan pada 5 Mei oleh EDB dan cabang penasihat dermawan Temasek Trust, lapor The Straits Times.
Terdapat dua jenis kredit karbon utama – satu berasaskan alam semula jadi, dan satu lagi berasaskan teknologi seperti menggantikan dapur kayu api dengan dapur masak yang lebih bersih.
Kredit berasaskan alam semula jadi boleh diperoleh daripada projek seperti pemulihan dan pemuliharaan hutan.
Di bawah Perjanjian Paris, sesebuah negara boleh membeli kredit karbon yang dijana di negara lain untuk memenuhi sasaran iklim domestiknya.
Singapura sebelum ini menganggarkan bahawa ia akan menggunakan kredit karbon berkualiti tinggi untuk mengimbangi kira-kira 2.5 juta tan pelepasan gas rumah hijau setiap tahun, dari 2021 hingga 2030.
Kredit karbon yang digunakan untuk mengimbangi pelepasan negara hanya boleh dibeli daripada projek karbon di negara yang mempunyai pakatan dua hala dengan Singapura.
Sejauh ini, Singapura belum lagi membeli kredit karbon tersebut.
Walaupun dengan prospek sejagat yang tidak menentu, keperluan yang berterusan dan mendesak untuk mengurangkan kesan perubahan iklim akan terus merangsang peluang pertumbuhan dalam kemampanan dan ekonomi hijau, kata EDB dan Enterprise Singapore.
Tiga penerima pertama bagi Geran Pembangunan Projek Karbon turut diumumkan oleh EDB pada 5 Mei – penyedia huraian iklim sejagat, 3Degrees; pemaju projek karbon yang berpangkalan di Singapura, Climate Bridge International; dan badan bukan mencari untung dalam bidang alam sekitar sedunia, The Nature Conservancy.
EDB tidak mendedahkan jumlah geran yang akan diterima oleh setiap syarikat.
Dr Tan berkata kekurangan pembiayaan yang mencukupi menjadi penghalang untuk meningkatkan pasaran karbon.
“Pemaju projek dalam pasaran karbon menghadapi kos pendahuluan yang tinggi daripada usaha menjalankan kajian kebolehlaksanaan hingga ke reka bentuk dan pelaksanaan projek.
“Tanpa laluan pelaburan yang jelas dan jangka masa panjang untuk melihat pulangan, pelabur terus berhati-hati... geran dan modal dermawan boleh membantu mengurangkan risiko projek (karbon),” kata Dr Tan pada sidang puncak itu yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg