Kutipan cukai di Singapura meningkat sebanyak 17 peratus, berikutan trajektori kenaikan dan pertumbuhan ekonomi serta gaji nominal yang lebih tinggi.
Pada tahun kewangan dari April 2023 hingga Mac 2024, Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) mengutip sejumlah $80.3 bilion. Ini adalah 17 peratus lebih tinggi daripada $68.6 bilion yang dikutip dari April 2022 hingga Mac 2023.
Jumlah terkini mewakili 77.6 peratus daripada hasil operasi pemerintah dan 11.9 peratus daripada keluaran dalam negara kasar Singapura, kata Iras pada 4 September.
Walaupun pematuhan cukai kekal tinggi di Singapura, Iras berkata ia tetap berwaspada dan akan mengambil tindakan tegas terhadap minoriti kecil yang tidak mematuhi pembayaran cukai.
Pihak berkuasa itu berkata ia telah menjalankan audit dan menyiasat 9,590 kes dalam tahun kewangan terkini, dan mendapati kira-kira $857 juta cukai dan penalti belum diperolehi. Ini meningkat daripada kira-kira $500 juta dalam cukai dan penalti yang diperoleh semula pada tahun kewangan sebelumnya.
Kutipan hasil cukai meningkat merentasi kebanyakan jenis cukai, dengan cukai pendapatan korporat meningkat sebanyak $5.9 bilion, sehingga mencapai $29 bilion disebabkan pendapatan korporat yang kukuh.
Ia membentuk bahagian terbesar kutipan hasil Iras, pada 36.1 peratus, meningkat daripada 33.7 peratus pada tahun kewangan sebelumnya.
Sementara itu, cukai pendapatan individu meningkat sebanyak $2 bilion untuk mencecah $17.5 bilion, berikutan gaji yang lebih tinggi dan peningkatan dalam bilangan pembayar cukai. Ia menyumbang 21.8 peratus jumlah kutipan.
Hasil cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menyumbang bahagian ketiga terbesar kutipan hasil Iras, pada 20.7 peratus atau $16.6 bilion, meningkat sebanyak $2.6 bilion disebabkan oleh perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi dan peningkatan kadar GST.
Cukai hartanah menyumbang 7.4 peratus atau $5.9 bilion. Kutipan duti setem, bagaimanapun, jatuh sebanyak $100 juta disebabkan oleh jumlah urus niaga hartanah yang lebih rendah. Ia menyumbang 7.2 peratus atau $5.8 bilion daripada kutipan hasil.
“Cukai yang dikutip digunakan untuk membiayai perkhidmatan penting untuk komuniti kita, mengembangkan ekonomi kita, meningkatkan persekitaran hidup kita, serta menyokong program pembangunan sosial untuk meningkatkan kehidupan rakyat Singapura,” kata Iras.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg