Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hong Tat: MAS sedia buat perubahan ketara giatkan semula pasaran ekuiti

Kumpulan semakan MAS telah hasilkan beberapa idea dan akan laksanakan langkah-langkah itu secara berperingkat
Sep 16, 2024 | 7:09 PM
Dari kiri: Pengerusi Persatuan Pelabur Sekuriti Singapura (Sias), Encik Daniel Teo; Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat; dan Pengasas, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Sias, Encik David Gerald.
Dari kiri: Pengerusi Persatuan Pelabur Sekuriti Singapura (Sias), Encik Daniel Teo; Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat; dan Pengasas, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Sias, Encik David Gerald. - Foto ST

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) bersedia membuat perubahan yang ketara dan perlu bagi pulihkan pasaran ekuiti Singapura selepas menyemak dengan teliti kebaikan dan keburukannya, kata Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat, pada 16 September.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Persidangan Tadbir Urus Korporat 2024 sempena meraikan Ulang Tahun Ke-25 Persatuan Pelabur Sekuriti Singapura (Sias).

Dalam ucapannya, Encik Chee berkata kumpulan semakan MAS telah menghasilkan beberapa idea dan akan melaksanakan langkah-langkah itu secara berperingkat selepas menilai risiko yang berkaitan.

“Walaupun kita telah mengenal pasti beberapa idea daripada perbincangan dengan pihak berkepentingan industri, tidak semestinya semua langkah ini akan berjaya. Tetapi kita bersedia membuat perubahan dan mencuba idea baru.

“Kerana jika kita tidak mencuba, peluang kita untuk berjaya adalah sifar. Jika kita mengambil beberapa risiko yang sesuai dan mencuba, itu bukan jaminan kita akan berjaya, tetapi kita mempunyai peluang untuk mengubah keadaan,” kata Encik Chee, yang juga Menteri Pengangkutan.

Pada 2 Ogos, MAS mengumumkan penubuhan sebuah Kumpulan Kajian Pasaran Ekuiti untuk menyarankan langkah-langkah bagi membantu pembangunan pasaran ekuiti di Singapura.

Panel tersebut dipengerusikan Encik Chee dan turut merangkumi pihak berkepentingan sektor swasta dan wakil sektor awam.

Pada 16 September, dalam ucapannya, Encik Chee berkata kumpulan semakan itu akan menumpukan kepada cadangan nilai unik Singapura kepada pelabur dan syarikat yang mencari penyenaraian apabila sedang menilai pilihan mereka

“Singapura telah mewujudkan diri kita sebagai hab pelaburan hartanah (Reit) terkemuka dengan mengenal pasti keperluan pasaran dan mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan dan ekosistem yang menyokong untuk memupuk pertumbuhannya.

“Saya percaya mungkin ada peluang lain untuk pasaran ekuiti Singapura – bukan untuk bersaing dengan bursa yang lebih besar, tetapi mengenal pasti bidang di mana kita boleh menambah nilai dengan memainkan kekuatan kita.

Beliau menambah pasaran ekuiti yang teguh memudahkan tawaran awam awal (IPO) yang berjaya, membolehkan modal dikitar semula ke dalam perusahaan peringkat awal yang lain.

Ini, katanya, melengkapkan kitaran pertumbuhan yang baik, inovasi dan pasaran kewangan yang lebih rancak.

“Inilah sebab mengapa pemerintah sedang pertimbang langkah dasar dan insentif untuk menambah baik pasaran ekuiti Singapura dan ekosistem pembiayaan perusahaan.

“Ini adalah elemen penting dalam ekosistem perniagaan kita untuk menyokong ekonomi yang kompetitif,” kata Encik Chee.

Beliau menekankan bahawa tumpuan semakan bukan mengenai Bursa Saham Singapura (SGX) sebagai sebuah syarikat.

Malah, ia bertujuan mengembangkan pasaran ekuiti Singapura supaya ia menjadi tempat yang menarik untuk perusahaan tempatan dan serantau untuk mengakses pembiayaan dan sokongan bagi rancangan inovasi dan pengembangan mereka.

Dalam ucapannya, Encik Chee berkata kumpulan semakan telah mengumpulkan idea dan cadangan kepada tiga kategori setelah berbincang dengan pihak berkepentingan industri.

Ini termasuk menyediakan saluran yang menggalak penyenaraian berkualiti; tingkatkan penyertaan pelabur dan meluaskan kecairan pasaran; dan menilai semula struktur dan pendekatan kawal selia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg