Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MAS bentuk kumpulan semakan bagi pertingkat pasaran ekuiti S’pura

Aug 2, 2024 | 6:34 PM
Kumpulan semakan akan menilai keadaan semasa pasaran ekuiti tempatan dan meneliti langkah menangani cabaran yang dikenal pasti.
Kumpulan semakan akan menilai keadaan semasa pasaran ekuiti tempatan dan meneliti langkah menangani cabaran yang dikenal pasti. - Foto ST

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah membentuk sebuah kumpulan semakan untuk mengesyorkan langkah bagi meningkatkan pembangunan pasaran ekuiti di Singapura.

Kumpulan semakan itu dipengerusikan oleh Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan yang juga ahli lembaga MAS, Encik Chee Hong Tat, dan dianggotai pihak berkepentingan daripada sektor swasta dan wakil sektor awam.

Ia akan menguatkan lagi daya usaha sedia ada yang diperkenalkan oleh pemerintah untuk menyokong pembiayaan perusahaan dan meningkatkan pasaran ekuiti tempatan, ujar MAS pada 2 Ogos.

Bercakap kepada wartawan di Bursa Singapura (SGX) pada 2 Ogos, Encik Chee berkata pemerintah melihat keperluan menjadikan Singapura pilihan lebih menarik bagi syarikat menyalurkan saham mereka.

“Pembentukan kumpulan semakan ini akan membantu kami melihat bagaimana pemerintah, bersama rakan kongsi industri kami, dan pihak berkepentingan, boleh berkumpul untuk meningkatkan pasaran ekuiti tempatan kami,” ujar beliau.

Encik Chee menambah bahawa mereka telah berbincang dengan beberapa pihak berkepentingan beberapa bulan lalu mengenai situasi saham di Singapura.

“Memandangkan terdapat pendapat yang berbeza, kami berpandangan bahawa cara paling berkesan untuk bergerak ke hadapan dan memanfaatkan pandangan pihak berkepentingan serta pakar ialah dengan mengadakan kumpulan semakan ini.

“Kami akan berunding dan mendengar pandangan yang berbeza sebelum kumpulan semakan ini membuat keputusan secara kolektif apakah langkah terbaik untuk bergerak ke hadapan,” tambah Encik Chee.

Kumpulan semakan itu turut terdiri daripada pemimpin sektor swasta berpengalaman dalam perniagaan dan pasaran modal, serta wakil sektor awam yang mempunyai tanggungjawab dalam pembangunan perusahaan dan dasar kewangan.

Ia akan menilai keadaan semasa pasaran ekuiti dan mengenal pasti cabaran dan meneliti langkah menanganinya.

Antara usaha yang akan dilakukan kumpulan semakan itu ialah mencadangkan langkah mempromosikan pembangunan syarikat yang menyenaraikan saham mereka di SGX, supaya dapat membina keupayaan dan berkembang pada peringkat antarabangsa.

Mereka juga akan menyemak elemen penting dalam pendekatan peraturan Singapura agar dapat mencipta persekitaran lebih baik bagi perniagaan.

Selain itu, mereka akan mengesyorkan langkah menarik syarikat untuk menjual saham mereka di Singapura, di samping mengusulkan langkah yang dapat memudahkan syarikat menjual saham mereka di pasaran tempatan, dan menarik lebih banyak syarikat membuat Tawaran Awam Awal (IPO).

Kumpulan semakan itu akan turut melakar strategi bagi meningkatkan daya tarikan pasaran ekuiti Singapura sambil mempromosikannya kepada pengeluar dan pelabur.

Menurut MAS, pemerintah sebelum ini sudah mengadakan beberapa daya usaha untuk menyokong pembiayaan perusahaan dan meningkatkan pasaran ekuiti Singapura.

Ini termasuk penubuhan dana asas untuk menyokong IPO syarikat sedang pesat meningkat, mengenalkan struktur korporat dan kelas saham supaya syarikat dapat menyenaraikan saham mereka di pasaran dan menyediakan maklumat mengenai syarikat yang boleh dilabur.

Dengan adanya kumpulan semakan itu, diharapkan ia dapat mengukuhkan lagi pembangunan pasaran ekuiti di Singapura, yang dikira sebagai bahagian penting dalam menguatkan reputasi Singapura sebagai lokasi utama bagi perniagaan dan kewangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg