Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hong Tat: Perubahan geopolitik mungkin jejas perdagangan

Feb 13, 2025 | 1:54 PM
(Dari kiri) Pengerusi JTC Corporation, Encik Tan Chong Meng, melancarkan buku barunya di majlis yang dihadiri Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, dan pengarah Institut Kajian Dasar (IPS), Encik Janadas Devan, di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew pada 12 Februari.
(Dari kiri) Pengerusi JTC Corporation, Encik Tan Chong Meng, melancarkan buku barunya di majlis yang dihadiri Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, dan pengarah Institut Kajian Dasar (IPS), Encik Janadas Devan, di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew pada 12 Februari. - Foto ZAOBAO

Singapura perlu bersedia menghadapi lebih banyak gangguan pada perdagangan global menyusuli perubahan dalam geopolitik semasa, termasuk dasar perdagangan baru yang diumumkan Amerika Syarikat dan negara lain, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, pada 12 Februari.

Berucap di majlis pelancaran buku Encik Tan Chong Meng, bekas ketua eksekutif (CEO) kumpulan PSA International, Encik Chee berkata perkembangan ini mencerminkan ketidaktentuan dalam rantaian bekalan global.

Langkah terkini Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang mengenakan tarif ke atas beberapa negara memberi kesan besar, mencetuskan siri perundingan dan tindakan bersifat perlindungan oleh negara-negara rakan dagang utama, tambah Encik Chee.

“Saya bimbang (perubahan) ini mengundang awan gelap ketidakpastian terhadap perdagangan antarabangsa,” kata Encik Chee, yang juga Menteri Kewangan Kedua.

Sejak pelantikannya pada 20 Januari, Encik Trump telah mengumumkan tarif 25 peratus ke atas semua import bahan keluli dan aluminium ke Amerika, memperkenalkan tarif umum ke atas barangan dari Canada dan Mexico, serta menaikkan cukai ke atas barangan import dari China.

Akibatnya, saham Asia yang bergantung pada perdagangan eksport merosot pada awal Februari selepas gelombang pertama tarif itu, lapor The Straits Times (ST).

Sekitar 115 peserta menghadiri pelancaran buku Encik Tan berjudul Exploring Global Trade And Singapore’s Place As A World Connector (Meneroka Perdagangan Global dan Peranan Singapura Sebagai Penghubung Dunia), di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew pada 12 Februari. 

Buku ini mencerminkan pandangan Encik Tan sebagai pemimpin perniagaan dalam industri pelabuhan mengenai sejarah, perkembangan terkini dan masa depan perdagangan serta peranan Singapura sebagai sebuah hab maritim.

Encik Tan, 65 tahun, yang menerajui pengendali pelabuhan PSA dari 2011 hingga 2024, kini merupakan pengerusi JTC Corporation.

Dalam perkongsian beliau, Encik Tan berkata CEO Sats, Encik Kerry Mok, memberitahunya baru-baru ini bahawa operasi mereka di beberapa lapangan terbang Amerika terjejas.

Ini berlaku selepas Encik Trump menghapuskan peraturan de minimis, atau pengecualian cukai kastam ke atas pakej bernilai rendah dari China, pada awal Februari.

Keputusan Encik Trump yang mengundang banyak kritikan itu telah dibatalkan pada 7 Februari.

“Perubahan dasar perlu disertai dengan pemahaman mendalam tentang implikasinya terhadap hubungan antara sistem,” tambah Encik Tan.

Encik Chee pada 12 Februari berkata kejayaan dan kedudukan Singapura sebagai hab maritim tidak kekal atau terjamin, dan beliau menekankan tiga bidang di mana Singapura perlu terus membina kekuatan.

Pertama, Singapura perlu memperkukuh perkongsian ekonomi untuk kekal kompetitif.

Politik perdagangan sedang berubah, dan perasaan ketidakpuasan hati semakin meningkat di kalangan orang ramai kerana merasakan mereka tidak dapat meraih manfaat daripada Konsensus Washington yang menyokong perdagangan bebas.

Masalah ini boleh menjejas rantai bekalan, kata Encik Chee.

Sebagai ekonomi yang bergantung pada perdagangan, Singapura perlu memastikan pertumbuhan berterusan dan manfaat perdagangan itu dikongsi secara meluas. Ini akan memupuk hasil yang inklusif dan memperkukuh ikatan sosial antara negara.

Kedua, sebagai respons terhadap ancaman alam sekitar, terdapat keperluan untuk beralih kepada ekonomi rendah karbon.

Encik Chee menggesa Singapura untuk kekal komited dalam usaha mencapai kemampanan, sejajar dengan Pelan Hijau Singapura 2030.

Pelan itu dilancarkan pada 2021 bagi membimbing negara ini menuju ke arah kemampanan merentasi semua sektor masyarakat termasuk infrastruktur, penyelidikan dan latihan.

Ketiga, dalam aspek pendigitalan, negara ini perlu menerima kemajuan teknologi, khususnya dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan analisis data untuk meningkatkan ketahanan rantai bekalan.

Encik Chee memberi contoh langkah Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) yang membuat percubaan atas beberapa alat AI untuk digunakan kapal berdaftar Singapura.

Menurut Encik Chee, Singapura akan terus memperluas penggunaan alat sebegitu untuk meningkatkan kecekapan operasi pelabuhannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg