Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mata wang, pasaran saham S’pura susut susulan tarif baru AS ke atas barangan import

Feb 4, 2025 | 1:07 PM
Tarif yang dilaksanakan Amerika Syarikat terhadap barangan import daripada China, Canada dan Mexico akan jejas Singapura secara tidak langsung melalui kesan negatifnya terhadap sentimen dan aktiviti pertumbuhan ekonomi global.
Tarif yang dilaksanakan Amerika Syarikat terhadap barangan import daripada China, Canada dan Mexico akan jejas Singapura secara tidak langsung melalui kesan negatifnya terhadap sentimen dan aktiviti pertumbuhan ekonomi global. - Foto AFP

Mata wang dan pasaran saham Singapura susut pada 3 Februari selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump mengumumkan tarif baru ke atas barangan import dari China, Canada dan Mexico.

Langkah itu dibimbangi akan memberi kesan pada pelbagai aspek, daripada pertumbuhan ekonomi, inflasi hingga geopolitik.

Penganalisis berkata perdagangan dan pertumbuhan global mungkin terjejas jika perang dagang berlarutan, dengan China dan Mexico menyusuli Canada dalam membuat tindakan balas, sementara Encik Trump menyasar rakan dagang lain seperti Kesatuan Eropah (EU).

Ketua ekonomi dan ketua pertukaran asing bagi Asean dan Asia Selatan di Bank Standard Chartered (StanChart), Encik Edward Lee, berkata buat masa ini, tarif tersebut akan jejas Singapura secara tidak langsung melalui kesan negatifnya terhadap sentimen dan aktiviti pertumbuhan ekonomi global.

“Ekonomi Singapura kecil dan sangat terbuka, dengan lebih separuh pertumbuhan didorong oleh permintaan luar.

“Sebarang kesan terhadap pertumbuhan global akan menjejas pertumbuhan Singapura,” kata Encik Lee kepada The Straits Times (ST).

Ketua Ekonomi Bank of Singapore, Encik Mansoor Mohi-uddin, berkata pengumuman tarif mengejutkan pasaran global, mencetuskan penjualan besar-besaran dalam saham, bon dan komoditi industri, seperti bijih besi dan tembaga.

“Serangan awal Trump, hanya dua minggu sejak penggal empat tahunnya (bermula), berkemungkinan menjejas keyakinan pelabur,” kata Encik Mohi-uddin. 

Indeks ekuiti S&P 500 Amerika susut 0.5 peratus, manakala Nikkei 225 Jepun jatuh 2.7 peratus, lapor ST.

Kenaikan tarif 25 peratus ke atas semua barangan eksport dari Canada dan Mexico ke Amerika serta tambahan 10 peratus ke atas barangan dari China akan berkuat kuasa mulai 4 Februari. 

Terdapat kemungkinan tipis rakan kongsi dalam Perjanjian Perdagangan Amerika-Mexico-Canada dapat mencapai kata sepakat sebelum tarif baru itu berkuat kuasa, dengan satu mesyuarat bakal diadakan pada 3 Februari. 

Namun buat masa ini, Canada telah mengumumkan tarif balas 25 peratus ke atas beberapa barangan import dari Amerika, diikuti ancaman tindakan balas dari China dan Mexico.

Penganalisis memberi amaran bahawa pasaran kewangan mungkin menghadapi tekanan dalam minggu mendatang jika tiada perjanjian dicapai.

Encik Lee berkata pasukan StanChart di China menganggarkan kenaikan tarif itu mungkin mengurangkan pertumbuhan China sebanyak satu mata peratusan. 

Sebagai rakan dagang utama Singapura, China diharapkan dapat mengambil langkah untuk mengimbangi impak tersebut, tambah Encik Lee.

Walaupun perdagangan Singapura dengan Canada dan Mexico adalah terhad, Amerika merupakan rakan dagang kedua terbesar Singapura.

Badan pemikir Washington, The Tax Foundation, menganggarkan bahawa Amerika mungkin mengalami penurunan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) sebanyak 0.4 peratus antara 2025 hingga 2034.

Untuk menampung kesan berkaitan perdagangan, Singapura telah menurunkan ramalan pertumbuhannya bagi 2025 kepada 1 hingga 3 peratus, serta melonggarkan dasar kewangannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg