Bursa Singapura (SGX) akan melancarkan satu indeks yang menjejak syarikat tersenarai yang bukan sebahagian daripada Indeks Straits Times (STI), sebagai sebahagian daripada usaha SGX untuk menonjolkan pasaran ekuiti yang lebih luas, kata Menteri Pembangunan Negara merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat pada 12 September.
Indeks baru itu akan membantu menjejak perkembangan syarikat besar seterusnya – sama ada melalui perubahan model perniagaan, penambahbaikan tadbir urus atau pengurusan modal yang lebih kukuh, kata Encik Chee, yang juga ahli lembaga Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Encik Chee juga merupakan pengerusi kumpulan semakan ekuiti yang ditubuhkan oleh MAS pada Ogos 2024 untuk meneroka cara memperkukuh pasaran ekuiti Singapura.
STI, indeks penanda aras bagi pasaran saham Singapura, terdiri daripada 30 syarikat terbesar mengikut permodalan pasaran, namun ia hanya mewakili sebahagian daripada syarikat tersenarai di SGX, lapor The Business Times (BT).
Berucap di persidangan anjuran Institut Pengarah Singapura di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura, Encik Chee berkata minat pelabur terhadap syarikat tersenarai di luar STI semakin meningkat.
Trend itu sebahagiannya didorong oleh inisiatif pelaburan baru yang akan menyalurkan $5 bilion kepada pengurus aset yang memberi tumpuan kepada ekuiti Singapura.
Inisiatif itu bertujuan meningkatkan kecairan pasaran modal negara.
“Dari masa ke masa, kami berharap lebih banyak indeks akan diwujudkan, merangkumi bidang seperti tadbir urus korporat dan kemampanan – mewujudkan kitaran positif dan menjana momentum baik untuk seluruh pasaran,” tambah Encik Chee.
Indeks merupakan satu sistem pengiktirafan bagi syarikat, berfungsi untuk menonjolkan syarikat yang cemerlang dan menjejaki prestasi pelbagai sektor industri atau segmen pasaran.
Penubuhan indeks baru itu adalah salah satu langkah tambahan yang diumumkan oleh Encik Chee pada 12 September, dengan matlamat lebih luas untuk memperkukuh pasaran saham Singapura.
Dalam beberapa bulan kebelakangan, kumpulan semakan ekuiti itu telah melancarkan beberapa inisiatif, selain daripada program pembangunan pasaran ekuiti bernilai $5 bilion.
Inisiatif lain termasuk insentif cukai untuk syarikat yang tersenarai di Singapura, serta penggabungan pendedahan prospektus dan penyenaraian di bawah satu pengawal selia bagi mempercepatkan proses semakan penyenaraian.
Selain indeks baru, Encik Chee berkata kumpulan semakan itu sedang bekerjasama dengan SGX untuk menyediakan lebih banyak wadah yang boleh lebih menonjolkan usaha syarikat serta kehadiran mereka di pasaran.
Inisiatif tersebut penting terutama bagi syarikat lebih kecil yang biasanya menghadapi cabaran untuk mendapatkan lebih pendedahan.
“SGX akan mengadakan pameran pelabur atau pesta perdagangan yang boleh disertai oleh syarikat, bagi mendapatkan perhatian pelabur institusi dan runcit.
“SGX juga mungkin akan mengatur liputan media dan program penglibatan lain untuk membantu menonjolkan syarikat tersenarai yang mempunyai kisah menarik untuk dikongsi dengan golongan pelabur,” jelas Encik Chee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg