Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MAS dijangka longgar dasar dolar S’pura pada 14 April – tinjauan

Apr 11, 2025 | 4:56 PM
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah melonggarkan dasar dolar Singapura pada Januari buat kali pertama dalam tempoh lima tahun.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah melonggarkan dasar dolar Singapura pada Januari buat kali pertama dalam tempoh lima tahun. - Foto ST

Bank pusat Singapura dijangka melonggarkan lagi tetapan dasar kewangannya, beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan tarif paling curam dalam satu abad, yang mengancam akan mengganggu perdagangan global dan mencetuskan risiko tindakan balas.

Kesemua 14 ahli ekonomi dalam satu tinjauan Bloomberg meramalkan bahawa Penguasa Kewangan Singapura (MAS), yang menggunakan kadar pertukaran dan bukan kadar faedah untuk menstabilkan harga, akan mengurangkan cerun graf dalam jalur dasar kadar pertukaran efektif nominal dolar Singapura atau Singdollar pada 14 April.

Cerun graf itu memandu kadar kenaikan nilai dolar Singapura. Jika cerun itu dikurangkan, ini bermakna mata wang itu akan dibenarkan mengukuh pada kadar yang lebih perlahan.

Sedang dolar Amerika meningkat berbanding banyak mata wang Asia menyusuli kemenangan pilihan raya Encik Trump pada November, gambaran itu menjadi lebih kompleks sejak sebulan lalu.

Pelabur telah menjual aset Amerika sebagai tindak balas kepada tarif yang melebihi jangkaan, manakala dolar Singapura telah meningkat kira-kira 2.9 peratus berbanding dolar Amerika pada 2025.

“Prospek sejagat telah merosot dengan ketara,” kata Encik Khoon Goh, ketua penyelidikan Asia di Australia & New Zealand Banking Group, yang meramalkan peralihan dalam cerun dasar kepada 0 peratus.

“Dengan inflasi teras dijangka kekal jauh di bawah paras purata jangka panjangnya, MAS kini memberi tumpuan yang kukuh kepada pertumbuhan,” tambahnya.

Singapura, yang dikenakan tarif Amerika sebanyak 10 peratus, tidak terjejas begitu teruk berbanding China, yang dikenakan tarif 145 peratus, namun sebagai ekonomi yang bergantung pada eksport, kejayaan negara ini terletak pada kesihatan rakan-rakan dagangnya.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah memberi amaran bahawa pertumbuhan pada 2025 akan “terjejas dengan ketara” dan Singapura boleh menuju ke arah kemelesetan.

Ekoran daripada itu, Citigroup melihat kemungkinan lebih besar pelonggaran “lebih agresif” oleh MAS pada 14 April, sambil tetap berpegang pada seruan pengurangan cerun 50 mata asas yang “terukur”.

Pilihan lain bagi MAS ialah memusatkan semula jalur dasarnya ke bawah bagi membolehkan mata wang itu menyusut nilai. Barclays adalah antara mereka yang melihat kebarangkalian kecil MAS mengurangkan cerun itu serta memusatkan semula jalur dasarnya ke bawah.

UBS menganggarkan hambatan pertumbuhan ekonomi daripada tarif itu mendatangkan kesan paling besar kepada Thailand dan Singapura, diikuti oleh Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Cik Johanna Chua daripada Citigroup memetik data daripada Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang menganggarkan hampir 7 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura didorong oleh perbelanjaan Amerika, yang kedua tertinggi dalam kalangan negara Asia Tenggara, sambil menunjukkan risiko penurunan kepada prospek negara daripada cukai import Amerika baru itu.

Penilaian itu mendahului pengumuman Encik Trump mengenai penangguhan 90 hari ke atas tarif yang lebih tinggi, sambil meningkatkan duti ke atas China kepada 145 peratus.

“Tindak balas global yang ketara boleh bermakna risiko kejatuhan lebih teruk bagi kepekaan ekonomi ini,” kata ahli ekonomi UBS yang menulis dalam satu nota pada 7 April, meramalkan pengurangan cerun “lebih besar daripada biasa” kepada pendirian 0 peratus.

MAS melonggarkan dasar Singdollarnya pada Januari buat kali pertama dalam tempoh lima tahun, dan keperluan untuk menyokong ekonomi menjadi lebih kuat berikutan tarif Encik Trump dan tindak balas pasaran global yang menyusulinya.

“Persoalannya ialah sejauh mana cerun itu akan dijadikan lebih mendatar? MAS tidak pernah sampai ke cerun sifar dengan mendadak, jadi ia boleh membimbangkan pemerhati pasaran,” kata Cik Selena Ling, ketua penyelidikan dan strategi di OCBC Bank.

“Memandangkan banyak ketidaktentuan ekonomi dan perdagangan luar masih ada, pendekatan secara beransur-ansur dan berperingkat-peringkat mungkin bijak.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg