HSBC bersetuju menjual operasi perbankan runcitnya di Bahrain kepada Bank of Bahrain and Kuwait (BBK) di tengah-tengah langkah bank itu menjalankan penyusunan semula.
Perjanjian itu akan menyaksikan pemindahan pinjaman runcit, deposit dan akaun kira-kira 76,000 pelanggan kepada BBK, yang dimiliki secara majoriti oleh pemerintah Bahrain dan Kuwait.
Butiran kewangan urus niaga itu, yang tidak termasuk perniagaan perbankan korporat dan swasta di Bahrain, tidak didedahkan.
HSBC telah mengurangkan operasinya di seluruh dunia, menghentikan puluhan kegiatan perbankan pengguna yang memberikan hasil rendah, menggabungkan beberapa perniagaan perbankan komersial dan pelaburannya, di samping merombak struktur kepimpinannya.
Bank itu telah memberhentikan sekitar 40 pengurus pelaburan di Hong Kong, menurut sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai perkara itu, lapor Reuters awal sebelum itu pada 18 Februari.
Pada Januari lalu, bank itu berkata ia sedang membuat persiapan menghentikan kegiatan penggabungan dan pemerolehan serta beberapa perniagaan ekuiti di rantau Eropah dan Amerika, bagi mempercepatkan peralihan ke arah Asia dalam langkah pemberhentian terbesarnya daripada perbankan pelaburan dalam beberapa dekad.
Bank yang tertumpu pada Asia itu dijangka melaporkan pendapatan setahun penuhnya pada 19 Februari.
HSBC mungkin mendedahkan penjimatan kos tahunan bernilai $1.5 bilion dengan laporan pendapatannya itu, lapor Financial Times minggu lalu. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg