Singapura terus mara dengan usaha membangunkan hab aset digital pada 2024, sementara pusat kewangan pesaingnya, Hong Kong, berdepan kesukaran untuk menarik minat.
Pada 2024, Singapura mengeluarkan 13 lesen kepada pelbagai pengendali aset digital, termasuk bursa kripto terkemuka OKX dan Upbit, serta gergasi global seperti Anchorage, BitGo, dan GSR.
Lesen yang diberi Singapura itu bertambah lebih seganda daripada bilangannya pada 2023.
Sementara itu, sistem pelesenan serupa di Hong Kong berkembang dengan perlahan.
Kedua-dua bandar itu bersaing untuk menarik syarikat aset digital dengan menawarkan peraturan khusus, projek tokenisasi (proses mencipta perwakilan digital bagi sesuatu perkara sebenar) dan ruang ujian peraturan.
Pihak berkuasa tempatan melihat aset digital sebagai peluang meningkatkan daya tarikan mereka sebagai hab perniagaan global, tetapi kemajuan yang dicapai masih tidak mantap.
“Rejim peraturan Hong Kong bagi bursa lebih ketat dalam beberapa aspek penting – seperti penjagaan aset pelanggan dan dasar penyenaraian serta penyingkiran token,” kata Cik Angela Ang, penasihat dasar kanan di firma perundingan TRM Labs.
“Ini mungkin memberi kelebihan kepada Singapura.”
Kelulusan di Hong Kong berlaku lebih perlahan daripada yang dijangka, dan pihak pengawal selia telah menyatakan niat mereka untuk memberi kebenaran kepada lebih banyak bursa menjelang akhir 2024.
Setakat ini, Hong Kong telah memberi lesen penuh kepada tujuh platform, dengan empat daripadanya diluluskan pada 18 Disember – dengan beberapa sekatan.
Tujuh lagi mempunyai lesen sementara.
Bursa terkenal seperti OKX dan Bybit menarik balik permohonan mereka bagi lesen Hong Kong.
Hong Kong hanya membenarkan perdagangan mata wang kripto paling cair seperti Bitcoin dan Ether, dan tidak membenarkan pelabur melabur dalam token lebih kecil dan lebih tidak mantap, dikenali sebagai ‘altcoin’.
“Ia adalah standard yang agak tinggi untuk dipenuhi dan untuk meraih keuntungan,” kata Encik Roger Li, pengasas bersama One Satoshi, sebuah rangkaian kedai di Hong Kong yang menawarkan perkhidmatan tukar antara tunai dengan kripto.
Satu lagi faktor yang perlu dipertimbangkan oleh eksekutif aset digital yang ingin berkembang di Asia ialah pengaruh China, di mana perdagangan kripto dilarang.
Rejim pentadbiran khas Hong Kong mempunyai profil risiko berbeza berbanding negara lain, kata Encik David Rogers, ketua eksekutif wilayah di pembuat pasaran B2C2, yang telah memohon lesen di Singapura.
Persekitaran yang menyokong aset digital di Singapura menjadikannya “pilihan selamat, jangka panjang” bagi sebuah hab serantau, kata Encik Rogers.
Dari segi perniagaan besar, kedua-dua bandar itu telah membuat kemajuan dalam mendapatkan institusi kewangan mencuba perisian rantain blok (blockchain).
Pada November, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengumumkan rancangan menyokong penggunaan tokenisasi aset melalui Projek Guardian dan Global Layer 1, iaitu dua inisiatif yang disokong oleh pemerintah.
Hong Kong mengawasi penjualan bon hijau digital bernilai HK$6 bilion ($1.05 bilion) menggunakan platform tokenisasi HSBC Holdings.
Hong Kong juga telah melancarkan dana dagangan bursa (ETF) untuk Bitcoin dan Ether pada April, namun ia gagal menarik minat yang sama seperti yang ditunjukkan oleh pembeli produk yang serupa di Amerika Syarikat.
Gabungan ETF Bitcoin dan Ether di bandar ini hanya mengumpul sekitar AS$500 juta ($679 juta), jauh lebih kecil daripada lebih AS$120 bilion yang dimiliki oleh pengeluar di Amerika.
“Rangka kerja Singapura menggalak interaksi antara pemain baru dan institusi yang sudah ditubuhkan,” kata profesor madya mengenai kewangan di Insead, Encik Ben Charoenwong.
Fokus Hong Kong pada institusi kewangan yang sudah ditubuhkan “menyebabkan kurang peluang untuk pemain baru dan mengehadkan ruang bagi inovasi”. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg