HSBC Singapore mengumumkan pelancaran pusat kesihatan dan kesejahteraan pertama mereka di Singapura, yang terletak di The Star Vista, pada 28 Julai.
Pusat kesihatan dan kesejahteraan itu akan dikendalikan Raffles Medical Group (RMG) untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan HSBC Life Singapore (cabang insurans bank).
Ini adalah tawaran kekayaan dan kesihatan bersepadu pertama bank itu di Singapura, yang membolehkan pelanggan menikmati perkhidmatan nasihat kekayaan, penjagaan kesihatan, dan perlindungan di bawah satu bumbung, lapor The Business Times (BT).
Di bawah kerjasama itu, pelanggan akan mendapat manfaat tambahan termasuk pengaturan tanpa tunai untuk rawatan pesakit luar, perkhidmatan teleperubatan, perkhidmatan ‘concierge’ 24/6, penyelarasan rawatan kecemasan, pakej saringan kesihatan berdiskaun, dan inisiatif pengesanan awal.
Pusat kesihatan dan kesejahteraan HSBC itu akan memberi perkhidmatan eksklusif kepada pelanggan bank yang sedang menjalani penilaian perubatan untuk polisi HSBC Singapore mereka, tanpa sebarang kos tambahan.
Ketua Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier di HSBC Singapore, Cik Ashmita Acharya, berkata:
“Pelancaran pusat kesihatan dan kesejahteraan baru kami adalah langkah untuk mencapai cita-cita kami bagi tawaran kekayaan dan kesihatan bersepadu yang paling lengkap di pasaran, sambil menawarkan pengalaman pusat kekayaan yang berbeza daripada perbankan tradisional.”
Pada April lalu, HSBC melancarkan pusat kekayaan kedua mereka di Star Vista, daripada tiga yang dirancang bagi 2025.
Menurut kenyataan media pada 28 Julai, langkah itu sebahagian daripada “perjalanan transformasi bertahun-tahun” dengan peningkatan pelaburan lima kali ganda untuk mengembangkan rangkaian fizikal di Singapura.
Raffles Medical (RMG) telah menjadi rakan kongsi lama HSBC Life Singapore, kerana mereka telah membantu memberikan perkhidmatan penilaian perubatan dan kesejahteraan kepada pelanggan Singapura bank itu selama lebih sedekad.
Pada 28 Julai, kumpulan penjagaan kesihatan itu melaporkan keuntungan bersih $32.1 juta untuk separuh pertama tahun kewangan (FY) 2025, meningkat 4.8 peratus berbanding $30.6 juta dalam tempoh yang sama pada 2024.
Pendapatan setiap saham adalah $0.0173, naik daripada $0.0165 pada 2024, dengan tiada dividen sementara diumumkan.
RMG menyatakan sektor penjagaan kesihatan kekal disokong permintaan stabil dan pertumbuhan struktur, walaupun menghadapi ketidaktentuan pasaran kewangan dan kadar faedah.
Syarikat itu terus menyesuaikan diri dengan trend kesihatan baru untuk kekal relevan dalam landskap penjagaan kesihatan yang berkembang pesat, sejajar dengan peningkatan jangka hayat dan usia penduduk Singapura.
“Walaupun menghadapi cabaran, kami memberi tumpuan kepada meningkatkan margin dengan mengoptimumkan sumber, mempercepat proses penjagaan, dan memperkukuh perkhidmatan kepakaran di kemudahan kami,” kata RMG.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg