Banyak perniagaan keluarga di Singapura masih belum bersedia sepenuhnya untuk menyerahkan perniagaan mereka kepada generasi seterusnya.
Demikian menurut satu laporan HSBC yang dikeluarkan pada 14 Mei.
Malahan, menjual perniagaan semakin menjadi pilihan utama, jelas laporan itu.
Walaupun 81 peratus usahawan di Singapura ingin mengekalkan perniagaan dalam keluarga bagi memelihara legasi mereka, hanya 55 peratus sahaja yang telah menyiapkan rancangan jelas untuk peralihan kepimpinan.
Jurang itu lebih ketara di negara lain di Asia, kata HSBC.
“Secara khusus, kami mendapati kira-kira dua pertiga daripada responden dari China, Hong Kong dan Taiwan belum merancang bagaimana perniagaan mereka akan diteruskan (generasi) selepas mereka.
“Keadaan ini bukan sahaja boleh menjejas keharmonian keluarga dalam jangka pendek, malah berpotensi menggugat kekayaan dan urusan perniagaan mereka dalam jangka panjang,” kata pihak bank.
Di peringkat sejagat, walaupun 78 peratus usahawan menyatakan hasrat mewariskan perniagaan mereka, hanya 52 peratus telah mengambil langkah untuk merancang perkara tersebut.
Dapatan itu berdasarkan tinjauan yang dijalankan melibatkan 1,798 pemilik perniagaan berpendapatan tinggi yang mempunyai sekurang-kurangnya AS$2 juta (sekitar $2.59 juta) dalam aset boleh dilaburkan, lapor The Business Times (BT).
Para usahawan itu berasal dari China, Perancis, Hong Kong, Taiwan, India, Singapura, Switzerland, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Britain dan Amerika Syarikat.
Dapatan HSBC memaparkan potensi kekosongan kepimpinan yang kian mendesak, khususnya ketika Asia bersiap sedia untuk proses pemindahan kekayaan antara generasi yang dianggarkan mencecah AS$5.8 trilion menjelang 2030.
“Kekayaan kewangan yang semakin meningkat tidak semestinya memudahkan perbincangan tentang peralihan kepimpinan dalam perniagaan. Malah, ia boleh memberi kesan sebaliknya,” ujar laporan itu.
Ini lebih-lebih lagi jika generasi pertama dan kedua melalui kehidupan yang berbeza disebabkan perubahan ekonomi pesat di negara mereka, tambah HSBC.
Meskipun penggantian kepimpinan kekal sebagai pilihan utama, menjual perniagaan kini dilihat sebagai satu pilihan yang berdaya maju.
Dalam kalangan 10 pasaran yang dikaji, pemilik perniagaan di China, Hong Kong dan Taiwan – serta pada tahap yang lebih rendah, Singapura – menunjukkan minat paling tinggi untuk menjual perniagaan mereka.
Sektor elektronik merupakan yang paling banyak dipertimbangkan untuk dijual (21 peratus), manakala sektor makanan dan minuman (F&B) serta perkilangan adalah antara yang paling kurang mendapat pertimbangan (masing-masing 6 peratus).
Meskipun ramai usahawan di Asia ada kemahuan dan kepercayaan bahawa generasi seterusnya mampu meneruskan perniagaan keluarga, mereka turut mengakui bahawa anak-anak mungkin mempunyai cita-cita berbeza.
Sebahagian besar usahawan turut bersikap terbuka untuk membiarkan anak-anak meneroka minat mereka sendiri.
Ketua perundingan keluarga HSBC, Cik Edith Ang, berkata:
“Usahawan Asia dan keluarga mereka boleh (membuat) persediaan lebih baik bagi menghadapi masa depan dengan mengamalkan pendekatan dinamik dan berpandangan jauh, bagi memanjangkan jangka hayat perniagaan serta melindungi kekayaan.
“Langkah ini boleh membantu memastikan proses peralihan kepimpinan berlaku dengan lebih lancar.
“Ia tidak semestinya melibatkan keputusan mutlak sama ada mengekalkan perniagaan dalam keluarga atau menjualnya serta menstrukturkan kekayaan melalui pejabat keluarga tunggal.
“Kadangkala, penyelesaian terbaik adalah menggabungkan kededuanya.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg