Platform pengurusan kekayaan digital, iFast, berkata ia telah mencapai persetujuan bersyarat untuk memperoleh 30 peratus pegangan dalam firma nasihat kewangan, Financial Alliance Corporation.
Dalam satu pemfailan bursa pada 5 Januari, kumpulan itu berkata usulan pemerolehan bernilai $19.6 juta itu akan dibiayai melalui gabungan sumber dalaman dan pinjaman luar.
“Kumpulan kami percaya industri nasihat kewangan di Singapura mempunyai potensi pertumbuhan yang besar,” kata iFast.
Ia turut menambah firma yang mempunyai “skala, kecekapan operasi serta akses kepada produk dan teknologi moden berpotensi mencapai kedudukan dominan”, lapor The Business Times (BT).
Financial Alliance merupakan sebuah firma penasihat kewangan dengan lebih 450 wakil penasihat kewangan, yang menawarkan panduan kepada pelanggan dalam bidang seperti insurans, pelaburan dan perancangan harta pusaka.
iFast berkata ia “melihat Financial Alliance berpotensi menjadi salah satu penerima manfaat jangka panjang daripada penyatuan industri, dengan kemungkinan disenaraikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang”.
Kumpulan itu menambah pemerolehan ini akan menyediakan “jambatan strategik” antara platform pengurusan kekayaan iFast dengan perkhidmatan penasihat kewangan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang disediakan oleh Financial Alliance.
Langkah ini dijangka membuka peluang kerjasama lebih erat, sokongan lebih kukuh bagi para penasihat, serta menyediakan “asas teguh untuk pertumbuhan masa depan”, menurut kenyataan itu.
Urus niaga ini dijangka tidak akan menyebabkan sebarang perubahan ketara kepada pendapatan sesaham atau aset bersih sesaham iFast bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2026.
Namun, berdasarkan prestasi operasi perniagaan yang biasa, urus niaga ini dijangka menyumbang kepada peningkatan pendapatan dan pendapatan sesaham, menurut iFast.
Kumpulan itu menambah usulan pemerolehan ini masih tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat yang berkaitan, termasuk persetujuan atau kelulusan daripada pihak pengawal selia.
Harga saham iFast meningkat 0.52 peratus, atau lima sen, ditutup pada $9.62 sekitar 12.30 tengah hari, 6 Januari, susulan pengumuman tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg