Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perniagaan ekuiti SGX kini dikenali sebagai Bursa Saham SGX

Jan 5, 2026 | 8:10 PM
Perniagaan ekuiti Bursa Singapura (SGX) kini akan dikenali sebagai Bursa Saham SGX.
Perniagaan ekuiti Bursa Singapura (SGX) kini akan dikenali sebagai Bursa Saham SGX. - Foto fail

Perniagaan ekuiti Bursa Singapura (SGX) kini akan dikenali sebagai Bursa Saham SGX atau ‘SGX Stock Exchange’.

Perkara tersebut diumum Ketua Pegawai Eksekutif SGX, Encik Loh Boon Chye, semasa acara sambutan ulang tahun ke-60 Indeks Straits Times (STI) pada 5 Januari.

Penjenamaan semula itu dibuat susulan selesainya pelaksanaan saranan Kumpulan Semakan Pasaran Ekuiti, serta kerjasama rapat SGX dengan rakan industri untuk menukar idea mereka kepada langkah yang boleh dilaksanakan, lapor akhbar The Straits Times (ST).

“Sebagai sebahagian daripada perjalanan ini, perniagaan ekuiti kami akan menggunakan nama yang lebih jelas dan intuitif pada masa akan datang, dan ia akan dikenali sebagai Bursa Saham SGX,” kata Encik Loh.

Di samping itu, penjenamaan semula itu “mengukuhkan peranannya sebagai tonggak utama Kumpulan SGX, cita-cita pelbagai asetnya serta kepentingannya kepada Singapura sebagai sebuah pusat kewangan antarabangsa,” tambah beliau.

Encik Loh menyifatkan pemulihan kegiatan Tawaran Awam Awal (IPO) pada 2025 sebagai satu “permulaan yang menggalakkan”, sambil menambah bursa tersebut menantikan lebih banyak penyenaraian, termasuk syarikat yang inovatif dan berpandangan jauh.

Kegiatan IPO melonjak dengan ketara pada 2025, dengan jumlah dana yang berjaya dikumpulkan melebihi $2.4 bilion, jumlah tertinggi sejak 2019.

Encik Loh turut memaklumkan bahawa pada 2025, STI mencapai paras tertinggi baru dan mencatat pulangan keseluruhan melebihi 25 peratus, sekali gus berdiri setara dengan penanda aras sejagat terkemuka seperti S&P 500 dan Nasdaq.

Jika dilihat daripada perspektif jangka masa lebih panjang, iaitu selama lima tahun, pulangan keseluruhannya melebihi 100 peratus dalam nilai dolar Singapura, kata Menteri Pembangunan Negara merangkap Timbalan Pengerusi, Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Chee Hong Tat, semasa acara tersebut.

Beliau menambah bahawa jumlah nilai pasaran syarikat disenarai juga telah melepasi paras $1 trilion, manakala purata nilai sekuriti dagangan harian bagi keseluruhan 2025 adalah yang tertinggi sejak 2010.

“Angka ini mencerminkan fungsi pasaran yang semakin baik serta minat dua hala yang lebih kukuh daripada peserta pasaran,” kata Encik Chee.

Beliau menambah bahawa bursa tempatan menyaksikan peningkatan kegiatan dalam kaunter bermodal kecil dan sederhana, dengan perolehan dagangan bagi segmen itu meningkat lebih 40 peratus pada 2025 berbanding 2024, sekali gus mengatasi prestasi keseluruhan pasaran.

Indeks iEdge Singapore Next 50, yang dilancarkan pada September 2025, turut menunjukkan prestasi yang “memberangsangkan”, dengan pulangan keseluruhan melebihi 25 peratus sepanjang tahun tersebut, tambah Encik Chee.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg