Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SGX lancar dua indeks baru

Langkah bagi pertingkat permintaan, minat pelabur dalam pasaran S’pura
Sep 22, 2025 | 3:23 PM
Dua indeks baru, iEdge Singapore Next 50 Index dan iEdge Singapore Next 50 Liquidity Weighted Index, adalah sebahagian daripada rancangan lebih besar Bursa Singapura (SGX) untuk meningkatkan permintaan dan minat pelabur, serta memperbaiki kecairan pasaran.
Dua indeks baru, iEdge Singapore Next 50 Index dan iEdge Singapore Next 50 Liquidity Weighted Index, adalah sebahagian daripada rancangan lebih besar Bursa Singapura (SGX) untuk meningkatkan permintaan dan minat pelabur, serta memperbaiki kecairan pasaran. - Foto fail

Dana pelaburan kini boleh menjejak syarikat tersenarai di Bursa Singapura (SGX) dengan lebih mudah dengan pelancaran dua indeks baru iaitu, ‘iEdge Singapore Next 50 Index’ dan ‘iEdge Singapore Next 50 Liquidity Weighted Index’.

Dilancarkan pada 22 September, kedua-dua indeks itu adalah sebahagian daripada rancangan lebih besar bursa tersebut untuk meningkatkan permintaan dan minat pelabur, serta memperbaiki kecairan pasaran, lapor The Straits Times (ST).

Kedua-dua indeks itu akan melengkapi penanda aras sedia ada dengan menjejak prestasi 50 syarikat berikutnya di papan utama, selepas 30 syarikat terbesar, mengikut permodalan pasaran dalam Straits Times Index (STI).

iEdge Singapore Next 50 Index akan menjadi indeks utama, ditimbang mengikut permodalan pasaran apungan bebas.

Sementara itu, ‘iEdge Singapore Next 50 Liquidity Weighted Index’ akan memberikan gambaran lain tentang kegiatan pasaran dengan memberi lebih tumpuan kepada saham yang paling aktif didagangkan, berdasarkan nilai dagangan harian purata selama enam bulan.

SGX pada 22 September berkata indeks itu dibangunkan menggunakan metodologi telus yang mempertimbangkan apungan bebas, permodalan pasaran, dan kecairan untuk memilih syarikat besar yang boleh diniagakan.

Syarikat-syarikat itu mempunyai perolehan minimum sebanyak $100,000 dalam nilai dagangan harian median dan permodalan pasaran minimum $100 juta.

Indeks baru itu menunjukkan minat yang kian meningkat terhadap pelbagai syarikat tersenarai di Singapura, di luar syarikat terbesar, yang telah menunjukkan kecairan yang baik dan peningkatan penyertaan pelabur sejak awal 2025.

Indeks baru itu pertama kali diumumkan oleh Timbalan Pengerusi, Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Chee Hong Tat, pada 12 September.

“Kami berharap lebih banyak indeks akan muncul, merangkumi tadbir urus korporat dan kemampanan, untuk mencipta kitaran positif dan momentum pasaran,” kata Encik Chee, yang juga Menteri Pembangunan Negara.

Sebanyak 50 syarikat dalam kedua-dua indeks itu adalah daripada pelbagai sektor seperti kewangan, tenaga, bahan bukan tenaga, dan dana amanah pelaburan hartanah (Reit), dengan Reit menjadi sektor terbesar.

Syarikat dengan penekanan terbesar dalam kedua-dua indeks itu adalah ComfortDelGro, Yangzijiang Financial Holding dan Keppel Reit pada 5 peratus.

Dalam ‘Liquidity Weighted Index’, iFast Corporation, Singapore Post, Sheng Siong Group, CapitaLand Ascott Trust, dan Suntec Reit turut mempunyai penekanan tertinggi pada 4 hingga 5 peratus.

Ketua Ekuiti SGX Group, Encik Ng Yao Loong, berkata indeks baru itu adalah sebahagian daripada usaha bursa tersebut untuk membina ekosistem pasaran saham yang lebih baik dan bersifat terangkum.

“Dengan mempamerkan lebih banyak syarikat, kami membantu pelabur memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada dalam pasaran saham Singapura,” katanya.

SGX dalam kenyataannya berkata, indeks baru itu menjadi sebahagian daripada siri indeks sejagat yang sedia ada, seperti ‘iEdge-OCBC Singapore Low Carbon Select 40 Index’ dan ‘iEdge S-Reit Leaders Index’, bagi mengukuhkan komitmennya terhadap pasaran tempatan dan tema sejagat yang relevan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg