Syarikat insurans tempatan, Income Insurance, sedang mencuba model perniagaan baru sebagai usaha untuk mengembangkan pendapatannya dengan memperluas kemampuan pengedaran, lapor The Straits Times (ST).
Menurut beberapa sumber, syarikat insurans komposit itu bercadang menjadi rakan perniagaan bagi mereka yang ingin memulakan firma penasihat kewangan (FA) mereka sendiri.
Ini akan dilakukan melalui anak syarikat milik penuh Income yang dikenali sebagai Income Advisory Group Holdings (IAG), yang ditubuhkan di Singapura pada awal Ogos.
Sebagai rakan perniagaan, IAG yang diketuai oleh Cik Grace Tng, akan memegang saham dalam firma FA baru tersebut.
Sebagai respons kepada pertanyaan ST, Income menyamakan pendekatan baru itu dengan usaha sama atau konsortium.
Ia berkata firma FA boleh memilih bergabung dengan IAG dan menjual produk Income sahaja atau menawarkan pelan daripada syarikat insurans lain juga.
IAG akan menyokong firma FA baru melalui perkhidmatan bersama dalam beberapa bidang termasuk urusan pentadbiran, proses, teknologi, dan pematuhan.
Dua komponen terakhir itu mungkin lebih mahal, menurut pengamal industri.
Sesetengah pengamal menyatakan bahawa model perniagaan IAG menarik kerana ia memanfaatkan kekuatan individu yang menyertainya.
Mereka menambah bahawa pendekatan baru itu membolehkan pengurusan firma FA baru memberi tumpuan kepada apa yang mereka lakukan terbaik – jualan dan merekrut.
“Dalam pasaran Singapura yang sentiasa berkembang, mempunyai skala dalam pengedaran adalah perlu untuk memenuhi keperluan pasaran insurans yang agak matang di Singapura,” kata Income.
Pada masa ini, Income mempunyai cabang penasihat kewangan, yang dikenali sebagai Infinitum Financial Advisory.
Infinitum, yang kini mempunyai sekitar 180 penasihat, ditubuhkan pada Jun 2019 selepas pengambilalihan dua firma FA.
Income berkata strategi baru itu melengkapkan strategi pengedaran ‘omni-channel’ mereka, yang merangkumi ejen terikat (ejen yang hanya menjual produk Income) dan mereka yang menawarkan pelbagai pelan daripada syarikat insurans berbeza, termasuk penasihat kewangan dan cawangan runcit.
Walaupun sesetengah pemerhati menggambarkan model perniagaan ini sebagai “bijak”, langkah ini telah menimbulkan beberapa persoalan.
Soalan utama ialah sejauh mana ia boleh bertahan dalam pasaran insurans Singapura yang sangat berdaya saing.
Perkembangan itu juga telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengamal industri, yang memantau perkembangan tersebut dengan teliti.
Beberapa sumber memberitahu ST bahawa IAG telah aktif merekrut dengan menawarkan pakej pembelian menarik.
Walaupun proses merekrut dalam industri bukan perkara luar biasa, insentif yang ditawarkan kepada ejen insurans dan pemimpin agensi menyebabkan ketidakselesaan dalam kalangan sesetengah pihak.
Seorang veteran industri berkata pakej pembelian biasa adalah sekitar 150 peratus dan jika melebihi itu, ia tidak akan bertahan lama.
Untuk pakej pembelian yang tinggi, individu tersebut perlu kekal dengan firma untuk tempoh yang lebih lama, tambahnya.
Pengamal industri lain berkata pakej pembelian biasanya bergantung pada sasaran jualan, jadi mereka yang menyertai IAG perlu mencapai sasaran atau berisiko kehilangan komisen.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg