India kawal wabak Nipah selepas 2 petugas dijangkiti

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

India kawal wabak Nipah selepas 2 petugas dijangkiti

Jan 29, 2026 | 3:51 PM

India kawal wabak Nipah selepas 2 petugas dijangkiti

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Seorang lelaki mengikuti berita di telefon bimbitnya mengenai kes virus Nipah yang dikesan di Bengal Barat, Karachi, Pakistan, pada 28 Januari 2026.
Seorang lelaki mengikuti berita di telefon bimbitnya mengenai kes virus Nipah yang dikesan di Bengal Barat, Karachi, Pakistan, pada 28 Januari 2026. - Foto EPA

NEW DELHI: Wabak virus Nipah yang merebak di negeri Bengal Barat di timur India telah berjaya dikawal dengan berkesan, kata pemerintah India pada 27 Januari, dengan hanya dua kes dilaporkan setakat ini.

Ia berlaku di tengah-tengah laporan beberapa negara Asia, termasuk Thailand, Indonesia dan Malaysia, yang meningkatkan langkah pengawasan di pintu masuk sempadan untuk menyaring pembawa virus daripada India.

“Situasi ini sentiasa dipantau, dan semua langkah kesihatan awam yang diperlukan telah dilaksanakan,” kata kenyataan pemerintah India, di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat tentang potensi penyebaran jangkitan tersebut.

Pihak berkuasa belum memberikan butiran mengenai dua kes yang disahkan itu.

Namun, akhbar The Straits Times dimaklumkan kedua-dua kes tersebut melibatkan petugas kesihatan di sebuah hospital swasta di Barasat, sebuah bandar di pinggir ibu negeri Kolkata.

Jangkitan mereka dikesan melalui ujian awal pada 11 Januari dan kemudian disahkan pada 13 Januari.

Kedua-duanya melaporkan demam dan mengalami komplikasi neurologi kerana ensefalitis atau keradangan otak, yang menyebabkan tisu otak membengkak.

Seorang pesakit telah pulih, manakala seorang lagi berada dalam keadaan kritikal dan menggunakan ventilator atau alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 196 kontak yang dikaitkan dengan dua kes yang disahkan itu telah dikesan dan diuji negatif untuk jangkitan virus nipah.

Tiada kes Nipah dilaporkan di luar India susulan wabak terbaru di negara itu.

Virus Nipah adalah zoonotik, bermakna ia boleh berpindah dari haiwan ke manusia. Ia boleh berjangkit apabila manusia bersentuhan rapat dengan haiwan yang dijangkiti seperti kelawar buah.

Jangkitan manusia juga mungkin berpunca daripada pengambilan buah-buahan atau produk buah-buahan, seperti kurma mentah, yang tercemar oleh haiwan yang dijangkiti.

Penularan dari manusia ke manusia juga boleh berlaku melalui sentuhan rapat dengan air liur dan perkumuhan manusia seperti air kencing dan tahi.

Simptom penyakit ini termasuk demam, sakit kepala, muntah, batuk, kesukaran bernafas, sawan dan kekeliruan.

Ia biasanya muncul selepas tempoh inkubasi selama lima hingga 14 hari. Penyakit ini mempunyai kadar kematian yang tinggi, antara 40 peratus dengan 75 peratus, kerana tiada vaksin atau ubat untuk merawatnya.

Virus Nipah dinamakan sempena nama kampung Sungai Nipah di Negeri Sembilan, Malaysia, kira-kira 70 kilometer di selatan Kuala Lumpur, tempat wabak pertama penyakit ini dikenal pasti dalam kalangan penternak khinzir pada 1998.

Sejauh ini, sebanyak 265 kes, dengan 105 kematian, telah direkodkan dan lebih sejuta khinzir telah dibunuh di seluruh negara.

Virus ini kemudian diimport ke Singapura melalui khinzir hidup pada Mac 1999 dan menyebabkan 11 kes, dengan satu kematian melibatkan pekerja pusat sembelih.

Walaupun virus ini paling kerap dilaporkan pada kelawar buah dan khinzir, namun ia juga boleh menjangkiti haiwan lain seperti biri-biri, kambing, anjing dan kuda.

India telah menyaksikan sejumlah lapan wabak Nipah sejak 2001, termasuk yang terbaru di Bengal Barat.

Wabak terbaru ini merupakan jangkitan Nipah pertama di Bengal Barat sejak 2007, apabila lima kes dilaporkan. Kesemua lima orang daripada mereka telah meninggal dunia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg