Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Industri runcit S’pura masih perlahan, naik 0.6% pada Ogos

Pertumbuhan didorong jualan kereta; 9 dari 14 kategori runcit catat penurunan jualan
Oct 4, 2024 | 4:34 PM
Jualan kenderaan bermotor melonjak 17 peratus disebabkan kuota Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang lebih tinggi.
Jualan kenderaan bermotor melonjak 17 peratus disebabkan kuota Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang lebih tinggi. - Foto ST

Jualan runcit Singapura tumbuh perlahan pada Ogos, diselamatkan sekali lagi oleh hasil jualan kukuh kenderaan bermotor.

Jualan runcit meningkat 0.6 peratus pada Ogos berbanding bulan sama pada 2023, menurut data Jabatan Perangkaan (SingStat) yang dikeluarkan pada 4 Oktober. Angka itu lebih tinggi daripada anggaran kenaikan 0.2 peratus oleh penganalisis dalam tinjauan Bloomberg.

Penjualan kereta sebenarnya telah banyak membantu mengekalkan kenaikan jualan runcit sejak beberapa bulan lalu. Ini kerana tanpa menyertakan kenderaan bermotor, nilai jualan runcit Ogos merosot 1.5 peratus tahun ke tahun, lanjutan kejatuhan 2.3 peratus pada Julai. 

Namun, masih terdapat peningkatan 2 peratus dari Julai dalam jumlah keseluruhan jualan tanpa menyertakan kenderaan bermotor, pada asas pelarasan musim.

Menurut satu laporan The Straits Times, jualan berkurangan dari tahun ke tahun pada Ogos bagi sembilan daripada 14 kategori runcit.

Pendapatan kedai serbaneka jatuh 6.2 peratus, manakala jualan pakaian dan kasut berkurangan 6.7 peratus, dan jualan kedai minyak petrol merosot 5.1 peratus.

Sebaliknya, jualan kenderaan bermotor melonjak 17 peratus, disebabkan kuota Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang lebih tinggi.

Peruncit makanan dan alkohol, kosmetik, peralatan mandian dan barangan perubatan serta pasar raya, dan pasar raya besar, mencatatkan pertumbuhan jualan antara 2.2 peratus dengan 8.1 peratus.

Jumlah keseluruhan nilai jualan runcit Ogos dianggarkan sekitar $4.1 bilion. Daripada jumlah tersebut, 12.1 peratus adalah daripada penjualan dalam talian, tidak jauh beza daripada 11.9 peratus yang dicatatkan pada Julai.

Jualan runcit dalam talian merangkumi 49.3 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan peralatan komputer dan telekomunikasi, 33.7 peratus jualan perabot dan peralatan rumah dan 12.9 peratus daripada jualan di pasar raya dan pasar raya besar.

Sementara itu, jualan perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) meningkat 4.3 peratus tahun ke tahun pada Ogos, lanjutan peningkatan 0.2 peratus dari Julai.

Hasil jualan katering makanan melonjak 24.3 peratus, manakala hasil jualan di kafe, pusat makanan dan tempat makan lain meningkat 3.3 peratus. Jualan meningkat 0.1 peratus di kedai makanan segera dan 2 peratus di restoran.

Jumlah keseluruhan nilai jualan perkhidmatan F&B pada Ogos dianggarkan sekitar $1 bilion.

Daripada jumlah tersebut, 24.2 peratus datang daripada platform dalam talian, meningkat daripada 23.8 peratus yang dicatat pada Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg