Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inflasi M’sia naik 2% pada Mei

Jun 25, 2024 | 5:51 PM
Bagi lima bulan pertama 2024, kadar inflasi Malaysia naik 1.8 peratus, berbanding 3.4 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.
Bagi lima bulan pertama 2024, kadar inflasi Malaysia naik 1.8 peratus, berbanding 3.4 peratus bagi tempoh sama tahun lalu. - Foto EPA-EFE

Inflasi Malaysia meningkat 2 peratus pada Mei 2024 berbanding Mei 2023, disebabkan harga air dan elektrik serta perbelanjaan makan di luar rumah yang lebih tinggi, menurut satu laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 25 Jun.

Perangkaan akhir bagi inflasi pada Mei itu adalah yang tertinggi dalam lapan bulan, melepasi inflasi 1.8 peratus pada April dan melebihi ramalan 1.9 peratus yang dibuat oleh sekumpulan pakar ekonomi dalam tinjauan Reuters baru-baru ini.

Inflasi negara itu kekal pada 1.8 peratus selama tiga bulan berturut-turut sejak Februari, lapor The Business Times (BT).

Inflasi teras meningkat 1.9 peratus pada Mei – pada kadar peningkatan sama seperti April.

Bagi lima bulan pertama 2024, kadar inflasi Malaysia naik 1.8 peratus, berbanding 3.4 peratus bagi tempoh sama pada 2023.

Laporan DOSM tersebut menyatakan bahawa harga bagi 331 daripada 573, atau hampir 58 peratus barangan dalam Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat pada Mei.

Harga bagi 320 barangan naik kurang daripada 10 peratus, manakala harga bagi 11 barangan naik lebih daripada 10 peratus.

Harga makanan dan minuman, yang membentuk hampir 30 peratus daripada CPI keseluruhan, mencatat peningkatan perlahan 1.8 peratus pada Mei 2024 berbanding Mei 2023.

Harga perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, yang membentuk 23.2 peratus daripada CPI keseluruhan, meningkat 3.2 peratus pada Mei.

Khidmat restoran dan penginapan, walaupun hanya membentuk 3.4 peratus daripada CPI keseluruhan, naik sebanyak 3.2 peratus.

Kadar inflasi Malaysia sebanyak 2 peratus pada Mei adalah lebih rendah berbanding beberapa negara di rantau Asia Pasifik.

Filipina mencatat inflasi lebih tinggi di rantau ini, iaitu pada 3.9 peratus.

Korea Selatan dan Indonesia masing-masing mengalami inflasi 2.7 peratus dan 2.8 peratus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg