Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Strategi pengguna penting bagi M’sia hadapi kesan kenaikan harga bahan api

Jun 23, 2024 | 5:30 AM
diesel Malaysia
Stesen minyak di Rantau Panjang, Kelantan, kelihatan lengang tanpa kehadiran kenderaan dari negara Thailand susulan harga diesel di semua stesen minyak di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter pada 10 Jun. - Foto BERNAMA

Peningkatan harga runcit diesel di Malaysia kepada RM3.35 ($0.96) seliter selepas penyasaran subsidi dan pengapungan harga, boleh memberi kesan besar terhadap ekonomi melalui kesan pengganda.

Di sebalik kesan negatif jangka pendek, kerajaan Malaysia boleh menguruskan transisi dengan baik untuk membawa manfaat ekonomi dan alam sekitar dalam jangka panjang.

Melalui pengurangan subsidi, negara itu boleh mengurangkan defisit fiskal dan membebaskan sumber untuk perbelanjaan awam lebih penting seperti pendidikan dan kesihatan, sekali gus pengagihan sumber lebih efisien.

Banyak negara menghadapi tekanan meningkatkan harga bahan api. Contohnya India mengalami kenaikan harga diesel ketara pada 2018 disebabkan peningkatan harga minyak global dan penurunan nilai mata wang.

Ini meningkatkan inflasi kerana kos pengangkutan mempengaruhi harga barang dan perkhidmatan.

Pada 2018, Perancis mengumumkan peningkatan cukai diesel ketara sebagai sebahagian dasar alam sekitar untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Ini mencetuskan gerakan jaket kuning dan menyaksikan bantahan awam dipacu persepsi dasar berkenaan memberi kesan tidak seimbang kepada individu berpendapatan rendah dan sederhana, terutama di luar bandar.

Pada 2018 juga, pemandu lori mogok di Brazil disebabkan perubahan dalam dasar penetapan harga Petrobras yang mahu menetapkan harga bahan api domestik sebanding harga minyak antarabangsa.

Penyesuaian ini mengganggu rantaian bekalan dalam negara, manakala mogok menyebabkan kekurangan barangan, termasuk makanan dan bahan api. Industri utama, termasuk automotif dan pertanian terjejas teruk.

Di Indonesia, subsidi bahan api diselaraskan dua kali pada 2013 dan 2018 menyebabkan perubahan signifikan dalam harga bahan api. Tindakan penyesuaian dan pembangunan ekonomi itu bertujuan mengurangkan beban fiskal dan mengalihkan belanja ke infrastruktur serta program sosial.

Malaysia perlu mengambil iktibar dan menganggap kemungkinan berlaku perkara serupa di negara ini. Diakui pengapungan harga diesel bukanlah pilihan mudah tetapi perlu dilakukan mengambil kira iklim ekonomi semasa.

Namun, keputusan ini perlu diselaraskan dengan teliti mengambil kira senario persekitaran ketika ini hingga perlu menimbang beberapa faktor.

Pertama, kerajaan Malaysia perlu meneliti kesan ekonomi secara menyeluruh, termasuk potensi peningkatan inflasi, impak kepada kos pengangkutan dan pengeluaran serta kesan terhadap pendapatan isi rumah untuk memahami bagaimana langkah ini akan mempengaruhi kos kehidupan harian rakyat dan daya saing industri.

Faktor alam sekitar juga perlu diambil kira kerana penstrukturan semula subsidi minyak mungkin boleh mengurangkan penggunaan bahan api fosil, tetapi perlu diiringi langkah menyokong kelestarian alam sekitar seperti pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau.

Oleh itu, perlu ada langkah melindungi golongan ini daripada kesan negatif terlalu besar. Kerajaan perlu mempertimbangkan impak politik dan reaksi masyarakat. Bagi menangani perkara ini, kerajaan boleh belajar daripada pengalaman dihadapi negara luar.

Kerajaan Malaysia perlu proaktif dan bersedia dengan mekanisme mengimbangi dan meredakan kesan kenaikan harga ini. Ia boleh memperkenal semula subsidi kepada beberapa sektor secara berperingkat.

Dana dijimatkan daripada pengurangan subsidi boleh digunakan untuk pelaburan dalam infrastruktur dan program sosial. Pindahan beban subsidi boleh dibuat kepada pelaburan dalam peningkatan kecekapan serta keberkesanan pengangkutan awam.

Kerajaan Malaysia juga boleh membuat perubahan pada struktur cukai seperti menggantung kenaikan cukai dirancang atau memperkenalkan pelepasan cukai untuk meredakan ketegangan.

Contohnya, mengurangkan duti eksais ke atas bahan api ini untuk merendahkan harga di pasaran. Pelepasan cukai pendapatan juga boleh diberikan kepada kumpulan berpendapatan tertentu yang layak dicukai untuk meringankan beban kewangan, selain kepada perniagaan terjejas langsung daripada kenaikan harga bahan api.

Kawalan harga sementara terhadap barangan dalam rangkaian bekalan terimpak secara langsung perlu diberi perhatian hingga kesan peningkatan harga bahan api dapat distabilkan.

Penguatkuasaan perlu dilakukan agar tidak berlaku percatutan atau manipulasi harga oleh pengeluar atau peniaga mengambil kesempatan.

Kerajaan perlu memahami dan menjangkakan reaksi sosial selain membuat sebaran awam mengenai keperluan membuat keputusan kurang popular ini.

Adalah penting bagi kerajaan Malaysia menjelaskan manfaat jangka panjang daripada penyasaran semula subsidi, selain berunding dengan sektor terjejas.

Usaha menangani kesan kenaikan harga bahan api juga memerlukan strategi pengguna untuk membantu meredakan tekanan ekonomi negara. Rakyat perlu mempelajari amalan tenaga cekap.

Mereka perlu membuat penyesuaian dalam belanjawan rumah tangga dan memberi lebih tumpuan kepada perbelanjaan keperluan, selain meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Realitinya, peningkatan harga bahan api diesel daripada penyasaran subsidi memerlukan kajian menyeluruh dan pemahaman mendalam mengenai kesan mungkin timbul.

Namun, jika dapat dijangka dan langkah dibuat mengambil kira faktor ekonomi, alam sekitar, sosial dan politik, keputusan kerajaan mempunyai potensi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negara melalui amalan kewangan lebih baik dan dasar ekonomi lebih mampan.

Sedutan rencana ini kali pertama disiarkan di Berita Harian Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg