Inflasi keseluruhan dan inflasi teras Singapura bergerak lebih perlahan daripada jangkaan pada Jun, dengan inflasi keseluruhan mencecah paras terendah dalam tiga tahun.
Demikian data daripada Jabatan Perangkaan pada 23 Julai, lapor akhbar The Business Times.
Julat ramalan rasmi sepanjang tahun untuk inflasi keseluruhan sedang dikaji dan akan dikemas kini dalam penyata dasar monetari Penguasa Kewangan Singapura (MAS) seterusnya, yang akan dikeluarkan selewat-lewatnya 31 Julai, kata MAS dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam kenyataan berasingan.
Inflasi keseluruhan Jun ialah 2.4 peratus, turun mendadak daripada 3.1 peratus pada Mei dan lebih rendah daripada ramalan median 2.7 peratus oleh pakar ekonomi sektor swasta yang ditinjau Bloomberg.
Ini adalah kadar terendah sejak Ogos 2021, yang turut mencatat 2.4 peratus.
Kelembapan itu sebahagian besarnya disebabkan penurunan dalam kos pengangkutan persendirian, di samping inflasi teras yang lebih rendah.
Inflasi teras, tidak termasuk penginapan dan pengangkutan persendirian, berada pada 2.9 peratus.
Ini lebih rendah daripada 3.1 peratus bagi Mei, dan di bawah anggaran median pakar ekonomi sebanyak 3 peratus.
Mengikut dasar bulan-ke-bulan, keseluruhan Indeks Harga Pengguna (CPI) turun 0.2 peratus pada Jun, manakala CPI teras tidak berubah.
Buat masa ini, MAS dan MTI mengekalkan unjuran inflasi tahun penuh mereka, dengan kedua-dua inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka berada pada purata antara 2.5 dengan 3.5 peratus.
Tanpa mengira kesan sementara kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kedua-dua inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka mencapai antara 1.5 dengan 2.5 peratus.
Pada Jun, kebanyakan kategori CPI yang luas mengalami inflasi yang lebih rendah, manakala yang lain kekal tidak berubah.
Kos pengangkutan persendirian turun 0.7 peratus apabila harga kereta dan motosikal berkurang, dengan harga petrol juga meningkat pada kadar lebih perlahan.
Inflasi penginapan susut kepada 3.3 peratus pada Jun, daripada 3.4 peratus pada Mei, apabila sewa perumahan meningkat pada kadar yang lebih sederhana.
Komponen inflasi teras, runcit dan barangan lain susut paling banyak kepada 0.5 peratus, daripada 1.5 peratus sebelumnya.
Inflasi perkhidmatan agak sederhana kepada 3.4 peratus, daripada 3.6 peratus sebelumnya, berikutan kadar peningkatan lebih perlahan dalam kos perkhidmatan hospital dan perbelanjaan percutian.
Kos makanan kekal tidak berubah pada 2.8 peratus, yang mencerminkan “inflasi perkhidmatan makanan yang stabil”, kata MAS dan MTI.
Inflasi elektrik dan gas juga kekal tidak berubah pada 6.9 peratus, kerana kedua-dua harga elektrik dan gas meningkat pada kadar yang stabil.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg