Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inflasi teras S’pura pada Mei kekal 3.1%

Penganalisis percaya inflasi Singapura akan berkurangan dalam beberapa bulan mendatang
Jun 24, 2024 | 7:13 PM
inflasi
Inflasi perkhidmatan pada Mei mencapai 3.6 peratus disebabkan peningkatan lebih besar dalam perbelanjaan percutian, dan penurunan lebih kecil dalam harga tambang penerbangan. - Foto ST

Inflasi teras di Singapura kekal sama selama tiga bulan berturut-turut hingga Mei, apabila ramai rakyat negara ini membayar harga lebih tinggi untuk menikmati percutian mereka.

Walaupun harga pengguna kelihatan tidak berubah, beberapa penganalisis percaya inflasi di sini akan berkurangan pada masa depan.

Data rasmi yang dikeluarkan pada 24 Jun menunjukkan bahawa inflasi teras, iaitu tidak termasuk kos pengangkutan dan penginapan privet bagi mencerminkan perbelanjaan isi rumah di sini dengan lebih baik, kekal 3.1 peratus pada Mei 2024 berbanding Mei 2023, dan tidak berubah dari April dan Mac.

Inflasi perkhidmatan pada Mei mencapai 3.6 peratus disebabkan peningkatan lebih besar dalam perbelanjaan percutian, dan penurunan lebih kecil harga tambang penerbangan.

Namun, kenaikan dalam inflasi perkhidmatan diimbangi oleh inflasi lebih rendah bagi elektrik dan gas, runcit dan barangan lain.

Inflasi makanan turut kekal 2.8 peratus, lapor The Straits Times.

Inflasi keseluruhan pada Mei naik kepada 3.1 peratus dari Mei 2023, berbanding 2.7 peratus pada April.

Ia didorong oleh harga kenderaan dan petrol yang melonjak.

Inflasi naik paling tinggi bagi pengangkutan privet, dengan kosnya meningkat 2.8 peratus pada Mei 2024 dari Mei 2023, disebabkan harga kereta dan motosikal lebih tinggi, selain harga petrol meningkat pada kadar lebih pantas. Ia meningkat 0.3 peratus pada April.

Kededua ukuran inflasi teras dan keseluruhan adalah lebih tinggi sedikit daripada ramalan.

Satu tinjauan melibatkan beberapa pakar ekonomi oleh Reuters meramalkan inflasi teras mencapai 3 peratus dan inflasi keseluruhan mencecah 3.05 peratus.

Pakar ekonomi DBS Bank, Encik Chua Han Teng, menjangka inflasi teras secara purata akan reda pada 2024 disebabkan tekanan harga import terkawal, berikutan harga komoditi sedunia dapat dikawal, di samping dolar Singapura yang terus kukuh.

Ketua ekonomi OCBC Bank, Cik Selena Ling, pula berkata terdapat ruang untuk inflasi teras dan keseluruhan turun di bawah paras 3 peratus dalam beberapa bulan akan datang, kepada antara 2.8 peratus dengan 3 peratus secara purata bagi 2024.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 24 Jun menyatakan bahawa inflasi teras dijangka terus menunjukkan trend menyederhana secara beransur-ansur sepanjang 2024, dan turun dengan lebih ketara pada suku keempat.

Ia mengekalkan ramalan kadar inflasi teras dan keseluruhan pada 2024 pada julat 2.5 hingga 3.5 peratus.

“Inflasi bagi perkhidmatan berkaitan perjalanan ke luar negara kekal kukuh tetapi harus lebih sederhana sepanjang tahun ini (2024) apabila sektor pengangkutan udara dan perhotelan di seluruh dunia secara beransur-ansur memulihkan bekalan,” kata kenyataan bersama MTI dan MAS itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg