Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inflasi teras dan utama S’pura naik 1.2% Okt, lebihi ramalan

MAS dan MTI kekalkan julat ramalan penuh bagi 2025, tekankan ketidaktentuan prospek ekonomi
Nov 24, 2025 | 3:49 PM
Inflasi makanan meningkat sedikit kepada 1.2 peratus, berbanding 1.1 peratus pada September.
Inflasi makanan meningkat sedikit kepada 1.2 peratus, berbanding 1.1 peratus pada September. - Foto fail

Kedua-dua inflasi teras dan utama Singapura meningkat pada Oktober, pada kadar melebihi ramalan pakar ekonomi.

Namun, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam kenyataan pada 24 November, mengekalkan ramalan mereka sambil menekankan ketidaktentuan prospek ekonomi.

Inflasi teras, yang tidak mengambil kira kos penginapan dan pengangkutan privet, mencatat kadar 1.2 peratus pada Oktober, meningkat daripada 0.4 peratus pada September.

Menurut MAS dan MTI, kenaikan itu didorong inflasi lebih tinggi dalam sektor perkhidmatan, makanan, serta barangan runcit dan lain-lain.

Pakar ekonomi sektor swasta menjangkakan inflasi teras akan mencapai kadar median 0.7 peratus, berdasarkan satu tinjauan Bloomberg.

Inflasi utama pula, yang mencatat kadar 1.2 peratus pada Oktober, juga lebih tinggi berbanding 0.7 peratus pada September. 

Pakar ekonomi menjangkakan kadar median 0.9 peratus bagi inflasi utama.

Berbanding pada September, Indeks Harga Pengguna (CPI) teras meningkat 0.5 peratus, manakala CPI bagi kesemua kategori kekal tidak berubah.

MTI dan MAS mengekalkan julat ramalan penuh mereka bagi 2025, iaitu 0.5 peratus bagi inflasi teras; dan 0.5 hingga 1.5 peratus bagi inflasi utama, lapor The Business Times (BT).

Pada Oktober, kebanyakan kategori CPI mencatat inflasi lebih tinggi.

Inflasi perkhidmatan meningkat kepada 1.8 peratus, berbanding 0.3 peratus pada September, menyusuli peningkatan lebih pantas dalam kos insurans kesihatan, serta kenaikan kos perkhidmatan kesihatan dan perbelanjaan percutian.

Inflasi makanan turut meningkat sedikit, kepada 1.2 peratus, berbanding 1.1 peratus pada September.

Kenaikan itu didorong oleh peningkatan lebih pantas dalam harga makanan yang tidak dimasak.

Harga barangan runcit dan lain-lain meningkat 0.4 peratus pada Oktober, sedikit tinggi berbanding 0.3 peratus pada September.

Kenaikan itu disebabkan oleh peningkatan harga pakaian dan kasut, serta barang peribadi.

Inflasi pengangkutan privet meningkat kepada 3.8 peratus, daripada 3.7 peratus sebelum ini, berikutan kenaikan harga kereta lebih tinggi.

Sebaliknya, inflasi penginapan menurun kepada 0.3 peratus, daripada 0.4 peratus pada September, menyusuli kenaikan sewa rumah yang lebih rendah.

Harga elektrik dan gas turun sebanyak 4 peratus, kurang daripada penurunan 5.8 peratus pada September, disebabkan penurunan harga elektrik yang lebih sederhana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg