Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MAS kekalkan kadar kenaikan dolar S’pura walau ekonomi kukuh

Oct 14, 2025 | 1:21 PM
Bank pusat Singapura berkata ekonomi terus menunjukkan daya ketahanan walaupun terkesan dengan tarif Amerika Syarikat.
Bank pusat Singapura berkata ekonomi terus menunjukkan daya ketahanan walaupun terkesan dengan tarif Amerika Syarikat. - Foto fail

Bank pusat Singapura mengekalkan kadar kenaikan semasa nilai dolar Singapura yang berwajaran dengan perdagangan, kerana ekonomi tetap kukuh walaupun terjejas oleh tarif Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, terhadap perdagangan sejagat.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berkata inflasi teras – tidak termasuk kos pengangkutan privet dan penginapan yang lebih mewakili perbelanjaan isi rumah – dijangka mencatat purata 0.5 peratus pada 2025 dan antara 0.5 dengan 1.5 peratus pada 2026.

Pada Julai, MAS meramalkan purata inflasi teras adalah antara 0.5 peratus dengan 1.5 peratus pada 2025, lapor The Straits Times (ST).

“Justeru, MAS akan mengekalkan kadar kenaikan semasa bagi jalur dasar Kadar Tukaran Efektif Nominal Dolar Singapura (S$Neer) yang sedia ada,” umum MAS pada 14 Oktober.

Keputusan untuk mengekalkan dasar kewangan telah dijangka ramai.

Berbeza dengan bank pusat lain, MAS mengurus dasar kewangannya dengan membenarkan nilai dolar Singapura naik atau turun berbanding sekumpulan mata wang negara rakan dagang utama Singapura, dalam jalur dagangan yang tidak didedahkan, iaitu S$Neer.

MAS telah melonggarkan kadar peningkatan S$Neer dua kali pada 2025, iaitu pada Januari dan April, apabila Encik Trump mengenakan tarif terhadap hampir semua rakan dagangnya.

Walaupun ada ketidaktentuan, ekonomi sejagat dan domestik Singapura terus kukuh, dengan pengeksport dari seluruh dunia dan pengimport di Amerika berlumba-lumba menghantar barang sebelum tarif tersebut berkuat kuasa.

Fenomena itu, yang disebut sebagai ‘front-loading’, menyokong eksport dan pertumbuhan ekonomi sehingga Ogos 2025, apabila tarif timbal balas ke atas hampir semua import Amerika mula berkuat kuasa.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 14 Oktober mengumumkan bahawa ekonomi berkembang 2.9 peratus pada suku ketiga 2025, berbanding tempoh yang sama pada 2024, iaitu menurun daripada pertumbuhan 4.5 peratus pada suku kedua, namun lebih baik daripada jangkaan.

Walaupun Singapura dikenakan tarif asas 10 peratus sejak April, pada 25 September, Encik Trump mengumumkan tarif 100 peratus ke atas import produk farmaseutikal berjenama atau dipatenkan ke Amerika, yang berkuat kuasa pada 1 Oktober.

Namun, tarif itu mempunyai pengecualian: Ia tidak dikenakan ke atas syarikat yang telah memulakan pembinaan kilang pengeluaran di Amerika.

Penganalisis berkata tarif baru itu mungkin memberi kesan terhad kepada eksport farmaseutikal Singapura kerana kebanyakan syarikat utama di sini sudah memberi komitmen membina kemudahan baru di Amerika, yang akan memberi mereka pengecualian.

Negara pengeksport Asia, termasuk Singapura – yang paling terdedah kepada permintaan peringkat akhir Amerika – yang dijangka menghadapi kesan terbesar daripada langkah perlindungan yang menjejas pertumbuhan perdagangan dan aliran pelaburan masa depan.

Selain itu, lebih banyak kesan negatif mungkin berlaku jika Encik Trump mengenakan tarif ke atas import semikonduktor Amerika, yang merupakan satu lagi pemacu utama ekonomi Singapura.

MAS berkata ia sedang memantau dengan teliti pelaksanaan sebenar tarif tersebut, serta risiko konflik perdagangan dan gangguan yang berulang.

“Pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Singapura dijangka akan menjadi perlahan dalam suku-suku yang akan datang apabila kegiatan dalam sektor yang berkaitan dengan perdagangan kembali normal,” kata MAS.

Pelaburan sejagat dalam kecerdasan buatan (AI) dijangka menyokong sektor perkilangan, manakala pertumbuhan pembinaan dan perkhidmatan kewangan diperkukuh oleh pelaburan prasarana dan keadaan kewangan yang menyokong, kata bank pusat itu.

Inflasi teras, kata MAS, mungkin menurun sedikit dalam masa terdekat, tetapi beberapa faktor yang menjejas inflasi dijangka akan berkurang dalam suku-suku akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg