Inflasi teras tidak berubah pada Jun, kekal pada kadar 0.6 peratus berbanding setahun yang lalu, apabila kenaikan harga barangan runcit dan lain-lain diimbangi oleh penurunan inflasi dalam kategori seperti makanan dan perkhidmatan.
Inflasi teras meningkat kepada 0.7 peratus pada April, naik berbanding 0.5 peratus yang dicatatkan pada Mac – iaitu kadar terendah dalam tempoh empat tahun.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam laporan bersama pada 23 Julai berkata harga teras menurun sebanyak 0.1 peratus pada Jun, selepas kekal tidak berubah pada Mei.
Untuk menggambarkan perbelanjaan isi rumah dengan lebih tepat, kadar inflasi teras tidak mengambil kira kos pengangkutan swasta dan penginapan.
Inflasi keseluruhan atau inflasi utama juga tidak berubah berbanding Mei, dan kekal pada kadar 0.8 peratus pada Jun apabila kenaikan harga pengangkutan privet diimbangi oleh peningkatan inflasi penginapan yang lebih kecil, menurut MAS dan MTI.
Bacaan kedua-dua jenis inflasi itu lebih rendah daripada unjuran ahli ekonomi yang jangkakan inflasi teras pada 0.7 peratus dan inflasi keseluruhan pada 0.9 peratus, lapor The Straits Times (ST).
Dua kategori Indeks Harga Pengguna (CPI) mencatatkan inflasi yang lebih tinggi, iaitu kategori barangan runcit dan lain-lain, serta pengangkutan privet.
Inflasi barangan runcit dan lain-lain meningkat pada Jun, mencatatkan kadar 0 peratus berbanding -1 peratus pada Mei dan -1.2 peratus pada April.
Ini terutamanya didorong kenaikan harga pakaian dan kasut.
Inflasi pengangkutan swasta naik 2 peratus pada Jun, berbanding kenaikan 1.1 peratus pada Mei dan 1.3 peratus pada April.
Peningkatan ini dipacu kenaikan harga kereta yang lebih tinggi dan penurunan harga petrol yang lebih perlahan.
Kategori-kategori CPI lain pula mencatatkan harga lebih rendah atau kadar inflasi lebih perlahan.
Penurunan harga elektrik menyebabkan inflasi elektrik dan gas terus menurun, jatuh sebanyak 3.9 peratus pada Jun, berbanding penurunan 3.7 peratus pada Mei.
Inflasi makanan pula capai 1 peratus pada Jun berbanding 1.1 peratus pada Mei, sejajar dengan kenaikan lebih perlahan dalam harga perkhidmatan makanan dan makanan tidak dimasak.
Inflasi penginapan turut menurun sedikit, iaitu 1 peratus pada Jun berbanding 1.1 peratus pada Mei, berikutan kenaikan harga sewa rumah yang lebih kecil.
Inflasi perkhidmatan turun 0.7 peratus pada Jun berbanding 1.1 peratus pada Mei, disebabkan penurunan yang lebih ketara dalam perbelanjaan percutian, tambang udara dan kos perkhidmatan maklumat serta komunikasi.
MAS dan MTI berkata inflasi import Singapura dijangka kekal sederhana kerana harga minyak mentah dunia telah menurun dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Kenaikan harga komoditi makanan turut dijangka dapat dikawal.
MAS dan MTI mengulangi kenyataan pada Jun bahawa “meskipun konflik perdagangan mungkin menyebabkan inflasi bagi sesetengah ekonomi, kesannya terhadap harga import Singapura dijangka dapat diimbangi oleh tekanan penurunan inflasi yang disebabkan oleh permintaan global yang lemah.”
Mereka turut mengekalkan ramalan inflasi teras dan keseluruhan pada purata antara 0.5 dan 1.5 peratus bagi 2025, namun berkata bahawa “ketidaktentuan terhadap inflasi kekal tinggi di tengah-tengah peningkatan risiko dalam persekitaran luar.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg