Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inflasi teras S’pura naik 0.7% pada April, harga pengguna dijangka stabil sepanjang 2025

May 23, 2025 | 7:50 PM
Meskipun kadar inflasi teras meningkat pada April, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengekalkan unjuran bagi inflasi teras dan keseluruhan, pada purata antara 0.5 dan 1.5 peratus untuk 2025.
Meskipun kadar inflasi teras meningkat pada April, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengekalkan unjuran bagi inflasi teras dan keseluruhan, pada purata antara 0.5 dan 1.5 peratus untuk 2025. - Foto fail

Inflasi teras Singapura menunjukkan sedikit peningkatan pada April, menamatkan penurunan tahun ke tahun selama enam bulan berturut-turut. 

Namun, pemerintah dan pakar ekonomi menjangka kenaikan harga pengguna sepanjang 2025 kekal sederhana, disebabkan ketidaktentuan dalam perdagangan global.

Inflasi teras meningkat kepada 0.7 peratus tahun ke tahun, naik daripada 0.5 peratus yang dicatatkan pada Mac – iaitu kadar terendah dalam tempoh empat tahun, menurut laporan bersama Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 23 Mei.

Angka itu melebihi unjuran 0.5 peratus yang dianggarkan oleh pakar ekonomi, lapor The Straits Times (ST).

Untuk menggambarkan perbelanjaan isi rumah dengan lebih tepat, kadar inflasi teras tidak mengambil kira kos pengangkutan privet dan penginapan.

Inflasi teras yang meningkat pada April didorong kenaikan dalam harga perkhidmatan dan makanan, mengatasi penurunan inflasi barangan runcit dan lain-lain.

Ketua ahli ekonomi OCBC Bank, Cik Selena Ling, berkata kenaikan inflasi yang melebihi unjuran pada April itu tidak terlalu merisaukan, kerana ia dipengaruhi oleh ketidaktentuan tarif yang masih berterusan.

“Proses penurunan inflasi dijangka masih tidak menentu disebabkan ketidaktentuan berkenaan tarif Amerika Syarikat, meskipun rundingan perdagangan masih berjalan,” kata Cik Ling.

Inflasi keseluruhan kekal pada 0.9 peratus, sama seperti Mac, namun lebih tinggi berbanding unjuran 0.8 peratus yang dianggarkan pakar ekonomi. 

Keadaan itu berlaku apabila penurunan inflasi dalam sektor penginapan dan pengangkutan privet mengimbangi kenaikan inflasi teras.

Walaupun kadar inflasi teras meningkat pada April, MAS dan MTI mengekalkan unjuran bagi inflasi teras dan keseluruhan pada purata antara 0.5 dan 1.5 peratus untuk 2025.

MAS dan MTI mengulangi kenyataan pada April bahawa “risiko inflasi lebih cenderung kepada penurunan disebabkan ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam persekitaran luar”.

“Meskipun konflik perdagangan mungkin menyebabkan inflasi bagi sesetengah ekonomi, kesannya terhadap harga import Singapura dijangka dapat diimbangi oleh tekanan penurunan inflasi yang disebabkan oleh permintaan global yang lemah,” kata MAS dan MTI.

Harga minyak mentah dunia dijangka lebih rendah berbanding 2024, manakala kenaikan harga komoditi makanan juga dijangka terkawal, tambah kenyataan itu.

Berbanding Mac, laporan inflasi April tahun ke tahun menunjukkan perubahan yang pelbagai mengikut sektor.

Inflasi makanan meningkat sedikit kepada 1.4 peratus daripada 1.3 peratus, manakala inflasi perkhidmatan naik kepada 1.1 peratus berbanding 0.6 peratus pada Mac. 

Harga elektrik dan gas turun 3.5 peratus, sama seperti kadar pada Mac. 

Harga barangan runcit dan lain-lain jatuh 1.2 peratus, lebih tinggi berbanding penurunan 0.5 peratus yang dicatatkan pada Mac. 

Inflasi pengangkutan privet turun kepada 1.3 peratus daripada 2.1 peratus, dan inflasi penginapan berkurang kepada 1.1 peratus daripada 1.4 peratus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg