Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inflasi teras S’pura jatuh kepada 0.6% pada Feb

Terendah sejak Jun 2021 dan berbanding 3.6% pada Feb 2024
Mar 24, 2025 | 4:24 PM
Inflasi teras Singapura pada Februari adalah jauh lebih rendah berbanding kadar 3.6 peratus yang direkodkan pada bulan yang sama pada 2024.
Inflasi teras Singapura pada Februari adalah jauh lebih rendah berbanding kadar 3.6 peratus yang direkodkan pada bulan yang sama pada 2024. - Foto fail

Inflasi teras Singapura turun buat bulan kelima berturut-turut pada Februari, disebabkan kenaikan harga tahunan yang lebih kecil dalam kebanyakan kategori utama.

Inflasi teras, yang tidak termasuk kos pengangkutan privet dan penginapan bagi mencerminkan perbelanjaan isi rumah dengan tepat, turun kepada 0.6 peratus berbanding 0.8 peratus pada Januari dan 1.8 peratus pada Disember.

Mulai Januari, indeks harga pengguna dikemas kini kepada tahun asas 2024 daripada 2019, yang dilakukan setiap lima tahun, bagi mencerminkan penggunaan terkini isi rumah Singapura.

Inflasi teras Februari adalah yang terendah sejak Jun 2021, iaitu 0.6 peratus, jauh lebih rendah berbanding 3.6 peratus pada Februari 2024, lapor The Straits Times (ST).

Ia juga lebih rendah daripada ramalan 0.7 peratus oleh ahli ekonomi dalam tinjauan Bloomberg.

Pegawai ekonomi kanan DBS, Encik Chua Han Teng, berkata bank menjangkakan tekanan inflasi akan terus terkawal dalam beberapa bulan akan datang.

Inflasi keseluruhan juga turun kepada 0.9 peratus pada Februari berbanding 1.2 peratus pada Januari.

Inflasi pengangkutan privet juga turun, selain penurunan inflasi teras, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam laporan bersama mereka pada 24 Mac.

Ketua ekonomi di OCBC, Cik Selena Ling, berkata ada ruang untuk penurunan dasar kewangan Singapura. Tinjauan MAS pada Mac menunjukkan ramalan penurunan indeks harga pengguna utama dan teras pada 2025.

Ramalan inflasi utama 2025 adalah 1.7 peratus, turun dari 1.9 peratus sebelum ini, manakala inflasi teras diramal ialah 1.5 peratus, turun dari 1.8 peratus.

Pada Februari, harga elektrik dan gas turun 3.1 peratus, selepas turun 2.9 peratus pada Januari.

Kos barangan runcit dan lain-lain turun 0.4 peratus pada Februari, selepas turun 0.6 peratus pada Januari, disebabkan penurunan harga pakaian, kasut, dan perabot.

Kos pengangkutan privet naik lebih perlahan, 1.6 peratus pada Februari, berbanding 2.8 peratus pada Januari, akibat kenaikan harga kereta dan petrol yang lebih kecil.

Inflasi makanan turun kepada 1 peratus, manakala inflasi perkhidmatan turun kepada 0.8 peratus disebabkan penurunan tambang udara dan kos percutian.

Inflasi penginapan kekal 1.6 peratus pada Februari, disebabkan kenaikan sewa rumah yang lebih kecil, diimbangi oleh kenaikan kos penyelenggaraan rumah.

Inflasi import Singapura dijangka sederhana, dengan ramalan penurunan harga minyak sejagat dan keadaan pasaran makanan yang stabil.

Walaupun ketegangan perdagangan boleh meningkatkan inflasi beberapa negara, impaknya terhadap harga import Singapura dijangka diimbangi oleh permintaan sejagat yang lebih lemah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg