Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengurangkan lagi kadar peningkatan nilai dagangan dolar Singapura berbanding sekumpulan mata wang rakan dagangan utamanya, sebagai respons kepada inflasi yang semakin reda dan risiko pertumbuhan ekonomi yang semakin meningkat, di tengah-tengah langkah kenaikan tarif oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, ke atas perdagangan global.
Meskipun inflasi semakin reda, bank pusat Singapura itu menjangkakan inflasi teras – yang tidak termasuk kos pengangkutan privet dan penginapan bagi mencerminkan perbelanjaan isi rumah dengan tepat – berada pada purata antara 0.5 peratus dengan 1.5 peratus bagi 2025, turun daripada unjuran antara 1 peratus dengan 2 peratus yang diramalkan pada Januari.
“MAS akan mengekalkan dasar membenarkan S$Neer (Kadar Tukaran Efektik Nominal Dolar Singapura) meningkat secara sederhana dan bertahap. Tetapi, kadar peningkatan tersebut akan dikurangkan sedikit,” umum MAS pada 14 April.
Pada masa sama, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menurunkan unjuran pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi keseluruhan 2025 kepada antara 0 hingga 2 peratus, berbanding julat 1 hingga 3 peratus sebelum ini.
GDP Singapura mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus pada 2024.
“Memandangkan Singapura sangat bergantung pada perdagangan dan mempunyai keterikatan tinggi dalam rantaian bekalan global, kelembapan perdagangan global dan serantau serta ketidaktentuan dasar yang semakin meningkat akan memberi tekanan kepada sektor yang bergantung pada pasaran eksport, dan kesannya mungkin menjejas sektor yang bergantung pada pasaran domestik.
“Unjuran ekonomi Singapura mungkin menurun, disebabkan oleh ketidaktentuan dalam pasaran kewangan serta permintaan luar negara yang merosot lebih daripada jangkaan,” ujar MAS, lapor The Straits Times.
Penganalisis berkata ekonomi Singapura, yang bergantung pada eksport, akan lebih terjejas oleh gangguan perdagangan global akibat ketidaktentuan dasar tarif Encik Trump, berbanding kesan langsung daripada tarif 10 peratus yang dikenakan ke atas barangan eksport Singapura ke Amerika.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah memberi amaran bahawa walaupun kadar tarif yang dikenakan ke atas Singapura lebih rendah berbanding negara lain, pertumbuhan ekonomi negara ini pada 2025 tetap akan terjejas dengan ketara dan ia boleh membawa negara ini ke ambang kemelesetan.
Menurut data MTI, ekonomi Singapura mungkin sedang menghampiri kemelesetan, dengan pertumbuhan dari suku ke suku yang diselaraskan mengikut musim – yang mencerminkan kegiatan ekonomi dengan lebih tepat – menyusut 0.8 peratus pada suku pertama.
Kemerosotan itu didorong sektor perkilangan yang menguncup 4.9 peratus dari suku ke suku, diikuti sektor pembinaan yang menyusut 2.3 peratus.
Langkah MAS itu sudah dijangka banyak pihak. Penganalisis percaya pelonggaran dasar mata wang boleh membantu mengehadkan lonjakan kekuatan dolar Singapura baru-baru ini, sekali gus meredakan sebahagian kesan harga ke atas eksport menyusuli tarif baru itu.
Setakat 2 petang, 14 April, 1 dolar Amerika didagangkan pada 1.32 dolar Singapura – meningkat 0.2 peratus selepas pengumuman MAS itu dan selepas kejatuhan terbesar mata wang Amerika sejak 2022 pada minggu lepas.
Dolar Singapura mencatatkan kenaikan 1 peratus berbanding dolar Amerika pada 11 April, menjadikan jumlah kenaikan setakat ini 3.1 peratus berbanding dolar Amerika.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg