Bank pusat Singapura, seperti yang dijangkakan, tidak mengubah pendirian dasar kewangannya yang cenderung kepada dolar Singapura (Singdollar) yang lebih kukuh untuk mengekang inflasi, yang menurutnya akan terus reda sepanjang 2024.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berkata pada 14 Oktober bahawa ia akan mengekalkan kadar kenaikan nilai Singdollar berbanding sekumpulan mata wang rakan dagangan utamanya.
Nilai ini merujuk kepada jalur dasar Kadar Tukaran Efektif Nominal Dolar Singapura (S$NEER).
“Tiada perubahan pada lebarnya (jalur dasar) dan titik tengah jalur itu,” kata MAS, merujuk kepada parameter yang menunjukkan betapa tinggi dan seberapa cepat bank pusat mahu mata wang Singapura meningkat.
Menurut laporan The Straits Times (ST), MAS mengehadkan unjurannya untuk inflasi teras 2024 kepada purata 2.5 peratus hingga 3 peratus, daripada kadar sebelumnya, 2.5 peratus hingga 3.5 peratus.
Unjuran ini tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan swasta untuk lebih mencerminkan perbelanjaan isi rumah.
MAS juga meramal inflasi teras akan turun sekitar 2 peratus menjelang akhir 2024.
Bank pusat telah berjaya menurunkan inflasi teras, yang mencecah sehingga 5.5 peratus pada Januari 2023.
Namun, inflasi teras tetap meningkat kepada 2.7 peratus pada Ogos, selepas jatuh kepada 2.5 peratus pada Julai – catatan terendah sejak 2022.
Tidak seperti bank pusat negara lain, MAS menggunakan jalur dasar S$Neer untuk mengurus inflasi.
Kadar Singdollar dibimbing mengikut sekumpulan mata wang rakan dagangan utamanya untuk mengurangkan kos import.
Keseimbangan diperlukan kerana Singdollar yang terlalu kuat akan menjadikan eksport ke pasaran luar negara lebih mahal dan mengurangkan kedatangan pelancong ke Singapura.
MAS dalam kenyataannya berkata momentum pertumbuhan ekonomi Singapura telah meningkat.
“Ekonomi sepatutnya terus berkembang pada kadar yang stabil dan semakin hampir untuk mencapai potensinya pada 2025,” katanya.
MAS juga menyatakan bahawa risiko inflasi Singapura tampak lebih seimbang berbanding kali terakhir ia menyemak dasar kewangan pada Julai lalu.
Mengenai kesan ketidakstabilan geopolitik di Timur Tengah pada kos import minyak mentah, MAS berkata:
“Kemerosotan yang ketara dalam ekonomi global akan mendorong pengurangan mendadak dalam tekanan kos dan harga, menyebabkan inflasi domestik turun lebih rendah daripada jangkaan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg