Inflasi teras S’pura turun mengejut kepada 1% pada Jan
Inflasi teras Singapura menurun secara mengejut pada Januari, dengan penganalisis berbeza pandangan sama ada tekanan harga terkawal dan sama ada dasar kewangan akan diperketat.
Inflasi teras, yang tidak mengambil kira kos penginapan dan pengangkutan privet, jatuh kepada 1 peratus pada Januari berbanding 1.2 peratus pada Disember 2025, umum Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 23 Februari.
Penganalisis sebelum ini menjangka inflasi teras meningkat kepada 1.5 peratus.
Inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.4 peratus pada Januari berbanding 1.2 peratus pada Disember 2025.
Peningkatan ini didorong oleh inflasi penginapan yang lebih tinggi, mengatasi penurunan inflasi teras dan pengangkutan privet.
Bacaan ini lebih rendah berbanding ramalan penganalisis sebanyak 1.6 peratus.
Pakar ekonomi kanan DBS, Encik Chua Han Teng, menyatakan bahawa inflasi teras pada Januari telah menurun ke paras bawah julat ramalan rasmi yang tidak berubah, iaitu 1 hingga 2 peratus.
Beliau menjangka inflasi mungkin naik sedikit pada Februari, sebahagiannya disebabkan oleh Tahun Baru Cina.
Namun, MAS mungkin tidak tergesa-gesa mengetatkan dasar kewangan kerana tekanan harga import masih terkawal, walaupun harga minyak dunia naik akibat risiko geopolitik di Timur Tengah.
“Selain itu, ketidaktentuan terhadap pertumbuhan ekonomi Singapura susulan tarif global baru Amerika yang lebih tinggi sebanyak 15 peratus berpotensi memberi tekanan kepada kadar inflasi,” tambah Encik Chua.
Ketua ahli ekonomi OCBC, Cik Selena Ling, menjangka MAS akan mengekalkan dasar sedia ada dalam semakan April, sambil menunggu data inflasi beberapa bulan akan datang sebelum memutuskan perubahan dasar.
Beliau meramalkan inflasi teras bagi suku pertama 2026 akan mencatat kadar purata sekitar 1.2 peratus tahun ke tahun, manakala inflasi utama akan mencatat kadar sekitar 1.4 peratus.
Penganalisis Maybank, Encik Chua Hak Bin dan Encik Brian Lee, pula memberi amaran tentang risiko kenaikan inflasi yang berterusan.
Ini termasuk harga minyak yang meningkat, kenaikan harga cip memori akibat ledakan kecerdasan buatan (AI), serta jurang pengeluaran semakin melebar, yang boleh mendorong kenaikan inflasi berikutan peningkatan permintaan.
Encik Chua dan Encik Lee mengekalkan ramalan inflasi teras 2026 pada 1.7 peratus dan inflasi utama pada 1.6 peratus.
“Kami mengekalkan jangkaan bahawa MAS akan mengetatkan dasar kewangan sedikit pada April untuk mengatasi tekanan inflasi yang mungkin meningkat,” tambah mereka.
MAS dan MTI menyatakan dalam laporan bersama pada 23 Februari bahawa kos import Singapura dijangka terus terkawal, dengan jangkaan harga minyak mentah dunia kekal rendah.
Sementara itu, inflasi pengguna serantau dijangka meningkat sedikit setelah prestasi lemah pada 2025.
MAS dan MTI mengekalkan ramalan inflasi teras 2026 pada purata 1 hingga 2 peratus – julat yang telah dinaikkan pada Januari, berbanding purata sebelum ini iaitu 0.5 hingga 1.5 peratus.

